Tunggu kelulusan Majlis Raja-Raja untuk pelantikan ketua hakim baharu, kata PM


Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang menunggu kelulusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk pelantikan ketua hakim baharu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 April, 2019.

KERAJAAN sedang menunggu kelulusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk pelantikan ketua hakim baharu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Terdapat peruntukan perlembagaan bagi pelantikan yang dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja dan bukan hanya kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menjawab soalan sekiranya terdapat kelewatan dalam pelantikan ketua hakim yang baharu.  

“Kami sudah memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan ada keperluan untuk memaklumkan kepada pemerintah lain.

“Kami menunggu mereka untuk memberikan kelulusan, baru kami akan namakan ketua hakim baharu,” katanya.

Hakim Richard Malanjum bersara sebagai ketua hakim pada 12 April setelah memegang jawatan itu selama sembilan bulan.

Beliau bersara selepas mencapai umur persaraan mandatori 66 tahun dan enam bulan.

Kerajaan belum membuat pengumuman siapa yang akan mengantikan jawatan itu.

Straits Times Singapura dalam satu laporan baru-baru ini berkata, perdana menteri telah mengemukakan calon pilihan awal bulan ini tetapi masih belum menerima persetujuan Majlis Raja-Raja mengenai perkara itu. – 19 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen