SEORANG pelajar perempuan dibakar sehingga mati di Bangladesh atas arahan pengetua selepas beliau membuat laporan gangguan seksual, kata polis hari ini.
Kematian Nusrat Jahan Rafi, 19, minggu lepas mencetuskan bantahan besar-besaran di negara Asia Selatan itu, sehingga perdana menteri berjanji akan menghukum semua penjenayah terlibat.
Rafi diperdaya naik ke bumbung sebuah madrasah dihadirinya, di mana penyerangnya mendesak beliau menarik balik laporan polis dibuatnya.
Selepas enggan, beliau disimbah minyak tanah sebelum dibakar hidup-hidup.
Polis hari ini berkata, salah seorang daripada 17 yang ditahan menuduh pengetua madrasah mengarahkan serangan itu.
Pengetua itu “memberitahu mereka supaya memberi tekanan kepada Rafi untuk menarik balik kes itu atau membunuhnya jika beliau enggan,” kata pegawai polis Mohammad Iqbal yang mengetuai siasatan.
Rafi membuat laporan gangguan seksual itu kepada polis bulan lepas, dan sebuah video yang dibocorkan menunjukkan seorang ketua balai polis tempatan mengambil laporan itu tetapi menganggapnya “bukan perkara besar”.
Iqbal berkata sekurang-kurangnya lima orang ditahan, termasuk tiga rakan sekelas Rafi yang mengikatnya dengan tudung sebelum membakarnya.
“Rancangan mereka adalah untuk menjadikan kejadian itu sebagai kes bunuh diri. Tetapi gagal apabila Rafi berjaya melarikan diri kerana api itu membakar tudung yang mengikat kaki dan tangannya,” katanya.
Rafi melecur 80% anggota badannya dan meninggal dunia di hospital pada 10 April.
Tetapi, beliau sempat merakam video sebelum meninggal, mengulangi tuduhannya kepada pengetua.
“Cikgu raba saya; saya akan lawan jenayahnya sampai nafas terakhir,” katanya. Beliau juga mengenal pasti beberapa orang penyerangnya.
Kes itu mencetuskan kemarahan seluruh Bangladesh, dengan Perdana Menteri Sheikh Hasina berikrar yang “tiada seorang pun penjenayah terlibat akan terlepas daripada tindakan undang-undang”.
Kumpulan hak asasi berkata jumlah kes rogol dan serangan seksual meningkat di Bangladesh kerana pihak berkuasa gagal mendakwa penyerangnya. – AFP, 19 April, 2019.
Komen