APAKAH Malaysia yang hari ini kita kenang dan rayakan?
Pada lapis yang paling atas dan zahir, sebuah negara yang 54 tahun lalu terbentuk dengan penyatuan empat wilayah, yang dua tahun kemudian jadi tiga, melalui ikatan janji — janji antara satu sama lain dan janji kepada setiap seorang warganya tanpa ada yang terkecuali.
Terlepas dari itu, kita meraikan sebuah idea yang dipersetujui oleh wilayah-wilayah berkenaan yang membawa kepada berdirinya sebuah negara diberi nama Malaysia.
Atau, begitulah barangkali sepatutnya hari penuh bersejarah ini diingati serta diisi, dan diberi pengertian yang lebih bermakna.
Maka, sebuah Malaysia yang sebenarnya – atau sebuah negara yang terbayang (an imagined state) – adalah negara yang tegak dengan asas kenegaraan yang mendasari kelahirannya iaitu sebuah Persekutuan.
Namun selepas bertahun-tahun, asas itu entah kenapa dan entah bagaimana terasa semacam dilupakan. Ia terhakis dan menipis, sehingga idea kenegaraan yang pada mulanya melahirkan Malaya pada 1957, dan kemudian Malaysia itu, dijerat – dan semakin terjerat – oleh penguasaan dari pusat. Sebuah negara persekutuan ternampak seperti negara unitari atau kesatuan.
Penghakisan semangat persekutuan itu berlaku sedikit demi sedikit, peristiwa demi peristiwa. Daripada satu peristiwa membawa kepada satu peristiwa yang berikutnya, semangat itu terasa semakin luntur dan kekuasaan jadi semakin berpusat, bermula di Kuala Lumpur dan kini di Putrajaya.
Sekurang-kurangnya ada dua peristiwa besar dalam sejarah yang mencatatkan bagaimana kuasa di pusat mencampuri atau sangat mempengaruhi perkembangan di negeri-negeri: penyingkiran Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan pada 1966 dan perisytiharan darurat di Kelantan pada 1977.
Hal yang sama berlaku apabila hak-hak Sabah diketepikan ketika di bawah Parti Bersatu Sabah (PBS) pada tahun-tahun yang cukup menarik dalam sejarah politik negeri itu, dan kemudian berulang dalam isu royalti minyak Kelantan dan Terengganu.
Urusan sehari-hari pentabdiran negeri dalam soal pengurusan sumber alam misalnya tanah, hutan dan air pun cukup kuat dibayangi oleh kuasa dari pusat.
Apabila peta politik Malaysia berubah selepas pilihan raya umum 2008, pertembungan antara kuasa di pusat dan negeri itu semakin ketara. Bukan tidak sering berlaku, hak-hak negeri tidak dihormati dan konsep persekutuan itu sendiri diremehkan
Ini tidak terjadi dengan begitu saja tetapi ada keadaan yang membenarkan ia berlaku. Budaya politik yang tidak sihat, terutamanya, yang disuburkan oleh pelbagai institusi yang tidak berfungsi, rapuh dan lemah serta terkongkong. Malah, keadaan ini jadi lebih parah apabila sistem semak dan imbang pun tidak berjalan dengan wajar.
Itulah sebabnya Malaysia yang sepatutnya – dan yang terbayang – adalah sebuah projek melawan lupa. Hanya dengan melawan lupa saja kita akan dapat membetulkan kepincangan dan meletakkan setiap perkara duduk pada tempat yang sepatutnya.
“Perjuangan manusia melawan kekuasaan adalah perjuangan ingatan melawan lupa,” tulis novelis kelahiran Republik Czech, Milan Kundera.
Ini bukan saja soal konsep persekutuan atau federalisme yang diremehkan, tidak dihormati dan tidak diamalkan dengan telus serta bertanggungjawab. Ini tentang semua perkara – yang memerlukan pembetulan di negara ini.
Dari masa ke masa, kita akan lupa. Boleh jadi kita dipaksa melupakannya – apabila buku diharamkan, budaya diketepikan dan sejarah dipadam.
Seperti yang disebut oleh Kundera, kemudiannya datang orang menulis buku baru, mengada-adakan budaya baru dan mencipta sejarah baru. “Maka tak lama setelah itu bangsa tersebut akan mulai melupakan apa yang terjadi sekarang dan masa lampau. Dunia sekelilingnya bahkan akan lupa lebih cepat.”
Boleh jadi juga, entah kenapa, kita sendiri yang memilih untuk lupa – kerana tidak faham, tidak mahu ambil tahu atau boleh jadi juga, kerana dikelirukan.
Bagaimana hendak melawan lupa?
Projek Melawan Lupa boleh dilaksanakan dengan terus menghidupkan sejarah melalui apa juga cara. Setiap apa yang berlaku yang terlihat sebagai pencabulan terhadap cita-cita kenegaraan yang dipersetujui 54 tahun lalu tidak harus didiamkan. Harus ada yang terus bersuara, dan yang lebih penting, bertanya.
Ini tanggungjawab setiap seorang daripada kita, tak ada yang terkecuali.
Hanya dengan itu, ingatan kolektif kita tentang kenapa negara ini berdiri serta janji-janji awal ketika ia ditubuhkan – seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Perisytiharan Malaysia dan berikutnya, Rukunegara – akan terus sentiasa segar.
Tetapi untuk bersuara dan bertanya bukanlah kerja mudah. Akan selalu ada halangan, dan semuanya mesti ditempuh biarpun pasti ada yang harus dikorbankan dan terkorban.
Sekiranya Malaysia adalah sebuah projek Melawan Lupa, sudah barang tentu ada juga projek Pelupaan yang selalu akan cuba mengaburi mata kita daripada melihat dan mengingat, dan kemudiannya lupa.
Itulah tugas setiap seorang daripada kita untuk saling mengingatkan antara satu sama lain – supaya sama-sama tidak lupa.
Ini bukan projek jangka pendek. Ini projek yang berterusan dan tidak akan ada kesudahannya.
Oleh kerana ini memang sebuah projek yang belum siap dan tidak akan siap-siap, untuk itu, maaf atas segala kesulitan.
Selamat Hari Malaysia! – 16 September, 2017.
* Azam seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. Anda boleh mengikutinya di Twitter . E-mel: [email protected]
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen