India gantung aktiviti perdagangan di sempadan Kashmir


Kementerian Dalam Negeri India semalam mengumumkan menggantung semua aktiviti perdagangan di sempadan Kashmir kerana laluan itu didapati telah digunakan untuk aktiviti haram yang berpangkalan di Pakistan. – Gambar EPA, 19 April, 2019.

KEMENTERIAN Dalam Negeri India semalam mengumumkan menggantung semua aktiviti perdagangan di sempadan Kashmir yang ditadbir Pakistan, lapor agensi berita Anadolu. 

Menurut kementerian, urusan perdagangan di sempadan Garisan Kawalan (LoC) di antara kedua-dua kawasan di Jammu dan Kashmir digantung kerana laluan itu didapati telah digunakan untuk aktiviti haram yang berpangkalan di Pakistan.

“Laluan perdagangan LoC disalahgunakan untuk aktiviti membawa masuk senjata haram, jenayah narkotik dan mata wang palsu,” kata kementerian. 

Perdagangan di LoC yang bemula pada 2008 itu sejak sebulan lalu terpaksa dihentikan sementara waktu susulan kerja-kerja pembinaan jambatan pos kawalan Kamran.

“Semasa siasatan dijalankan Agensi Penyiasat Negara mendapati sejumlah besar perdagangan di LOC dilakukan oleh orang yang berkait rapat dengan organisasi pengganas,” jelas kementerian itu.

Berita mengenai penggantungan itu mengejutkan para pedagang Kashmir.

“Sepatutnya kita diberi notis terlebih dahulu. Kami mempunyai banyak simpanan barang untuk didagangkan.

“Penggantungan itu membebankan para peniaga,” kata pengerusi Persatuan Pedagang LoC, Hilal Turki. 

Katanya, pihaknya menyambut baik sebarang usaha perubahan untuk kebaikan tetapi keputusan mengejut itu memberikan tamparan hebat kepada perdagangan dan pedagang.

Jammu dan Kashmir, yang majoriti penduduknya adalah Muslim dikuasai India dan Pakistan di kawasan tertentu dan kedua-dua negara menuntut hak penuh ke atas wilayah terbabit.

Sejak 1947, kedua-dua negara telah melalui tiga peperangan - pada 1948, 1965 dan 1971 - dua daripadanya untuk menguasai Kashmir. – Bernama, 19 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen