Pakar forensik sangkal teori polis bagaimana Adib cedera


Alfian Z.M. Tahir

Teori polis menyatakan bahawa Adib cedera ketika keluar sendiri dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan kemudian dihentak dengan pintu van. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2019.

SEORANG pakar forensik hari ini menyangkal teori polis mengenai bagaimana anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim cedera dalam rusuhan kuil Seafield pada November lepas.

Prof Dr Shahrom Adb Wahid yang memberi keterangan dalam inkues bagi menyiasat punca kematian Adib berkata hipotesis polis itu “salah” dan “tidak diuji”.

Teori polis menyatakan bahawa Adib cedera ketika keluar sendiri dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan kemudian dihentak dengan pintu van.

Shahrom berkata semua bukti sudah dikajinya dan beliau mendapati bahawa teori polis itu salah.

“Dari hasil ujian klinikal dan bedah siasat, termasuk video kejadian serta lakonan semula oleh polis, mereka membuat teori bahawa Adib keluar dari van EMRS dengan sendiri, dihentak pintu van dan terbaring di tepi jalan.

“Hipotesis ini salah dan tidak diuji. Saya sudah kaji dan dapati ia tidak tepat,” katanya, sambil menambah lakonan semula kejadian dijalankannya sendiri.

Menjelaskan torinya kepada Mahkamah Koroner hari ini, Shahrom berkata Adib mungkin ditarik keluar daripada van EMRS oleh seseorang dari belakangnya.

“Secara rasionalnya, Adib tentu akan tutup pintu kalau dia nampak orang datang ke arahnya. Kalau dia nampak, tentu dia tahu dia akan diserang.

“Selepas mengkaji video (kejadian), saya tak nampak seorang pun perusuh datang dari bahagian depan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van EMRS. Ada kemungkinan orang lain datang dari belakang dan dia ditarik keluar dari van secara tiba-tiba,” kata Shahrom. – 19 April, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen