Jangan buang masa dengan pembangkang, Najib beritahu kaum Cina


Low Han Shaun

Perdana Menteri Najib Razak menggesa masyarakat Cina memegang lebih banyak jawatan kepimpinan dalam kerajaan semasa berucap di Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 September, 2017.

KAUM Cina adalah orang yang praktikal dan perlu melihat kepimpinan pelbagai kaum yang dimiliki oleh Barisan Nasional (BN), kata Perdana Menteri Najib Razak.

“Anda adalah orang yang praktikal, anda tahu apa yang baik untuk anda. Ini adalah negara berbilang kaum dan mesti berdasarkan kerajaan berbilang kaum,” kata Najib dalam ucapannya kepada kira-kira 16,000 peserta di Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

“Pada masa ini hanya 6% kaum Cina menjadi pemimpin dalam kerajaan. Ini terlalu sedikit.

Masyarakat Cina juga diingatkan supaya tidak membuang masa dengan pembangkang kerana BN memerlukan sokongan kuat mereka dalam kerajaan.

Dalam usaha menarik perhatian mereka, beliau juga menggesa kaum Cina mengambil lebih banyak jawatan kepimpinan dalam kerajaan.

“Kita tidak perlu membuang masa dengan pembangkang, jangan membazirkan masa dengan pembangkang.

Najib juga mengambil kesempatan mengingatkan para peniaga Cina yang dibantu kerajaan selama ini.

“Apabila kita bercakap mengenai pertumbuhan ekonomi atau peluang perniagaan, kaum Cina sudah diakui di seluruh dunia sangat bekerja keras, tetapi walaupun dengan usaha gigih, anda masih memerlukan kerajaan yang boleh memberikan ‘kunci’ (peluang) kepada anda.

“Lihat saja Public Bank, Genting, Gamuda, IOI Development. Syarikat-syarikat ini diberikan kunci oleh kerajaan dan ia dipimpin oleh kerajaan (untuk berjaya),” katanya.

Najib juga berjanji untuk meluluskan pembinaan lebih banyak sekolah vernakular Cina di negara ini dan berbincang dengan pihak yang sesuai untuk memastikan pendidikan itu terjamin.

“Salah satu permintaan yang saya dapat daripada orang Cina adalah untuk mempertimbangkan lebih banyak sekolah SJK (C) di mana terdapatnya ramai kaum Cina.

“Sebagai kerajaan pemerintah, kami akan meluluskan lebih banyak sekolah SJK (C), kita akan lihat kawasan mana yang akan mempunyai penduduk Cina dominan dan kami akan meluluskan sekolah di sana.

“Saya akan berbincang dengan MCA, Gerakan dan unit perancangan negara mengenai perkara ini, saya berjanji untuk melaksanakannya,” katanya.

Bagaimanapun, Najib juga berkata beliau akan melakukan semua ini dengan satu syarat iaitu kaum Cina perlu meningkatkan kemahiran mereka berbahasa Melayu.

“Walaupun saya menjadi perdana menteri selama sembilan tahun, saya telah meluluskan lebih banyak dana untuk sekolah Cina berbanding perdana menteri tertentu yang memerintah 22 tahun.

“Apabila anda mempunyai lebih banyak sekolah, sila kukuhkan kemahiran anda dalam BM, anda mesti bercakap BM dengan baik.

“Tiada lagi ‘gua’ dan ‘lu’, selepas 60 tahun Merdeka. Apabila kita menambah sekolah, kita mahu muridnya menjadi mahir dalam Bahasa Malaysia,” katanya.

Najib menambah beliau mahu melihat Malaysia sebagai antara 20 negara yang berjaya pada tahun 2020, dan adalah penting keharmonian kaum dan perpaduan terpelihara untuk mencapai matlamat ini. – 16 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen