PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan isterinya, Melania akan menjadi tetamu luar negara pertama ke Jepun dan melawat Putera Mahkota Naruhito selepas putera itu menaiki takhta maharaja, kata White House.
“Trump akan ke Jepun bermula 25 hingga 28 Mei ini sebagai tetamu negara pertama susulan pelantikan Maharaja Naruhito pada 1 Mei, 2019,” kata jurucakap Trump, Sarah Sanders dalam satu kenyataan.
Sanders juga berkata Trump akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Shinzo Abe. Ia sebagai kunjungan balas lawatan Abe ke Washington pada 26 hingga 27 April.
“Pertemuan antara Presiden Trump dan Perdana Menteri Abe akan mengesahkan perikatan AS-Jepun sebagai asas keamanan, kestabilan dan kemakmuran di wilayah Indo-Pasifik dan di seluruh dunia,” kata Sanders.
Trump dijangka kembali ke Jepun pada Jun untuk menghadiri sidang kemuncak G20 yang akan diadakan di Osaka. – AFP, 19 April, 2019.
Komen