Rang undang-undang gaji minimum Nigeria lulus


Rang undang-undang itu, yang bersetuju dengan jumlah 30,000 naira (kira-kira AS$83.33) sebagai gaji minimum bulanan negara, telah diluluskan oleh kedua-dua dewan Perhimpunan Kebangsaan sebelum berhenti rehat bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum 2019. – Gambar AFP, 19 April, 2019.

PRESIDEN Nigeria Muhammadu Buhari pada Khamis telah menandatangani Rang Undang-Undang Gaji Minimum Negara yang ditunggu-tunggu untuk menjadikannya sebagai suatu undang-undang, lapor agensi berita China Xinhua.

Rang undang-undang itu, yang bersetuju dengan jumlah 30,000 naira (kira-kira AS$83.33) sebagai gaji minimum bulanan negara, telah diluluskan oleh kedua-dua dewan Perhimpunan Kebangsaan sebelum berhenti rehat bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum 2019.

Pembantu Khas Kanan Presiden mengenai Hal-Hal Perhimpunan Kebangsaan, Ita Enang, berkata ia berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata ia adalah untuk semua pekerja di seluruh negara itu dengan pengecualian bagi organisasi yang mempunyai kakitangan kurang 25 orang.

“Ini bermaksud semua majikan di Nigeria wajib membayar gaji pekerja mereka sekurang-kurangnya  30,000 naira sebulan,” katanya.

Pada November 2018, persatuan buruh Nigeria mengancam untuk melancarkan mogok tidak berpenghujung di seluruh negara bagi membantah kegagalan kerajaan untuk memberikan maklum balas kepada tuntutannya berkaitan gaji minimum baharu.

Kesatuan buruh menggesa kerajaan persekutuan untuk menaikkan kadar gaji minimum negara daripada 18,000 naira (AS$50.07) kepada 30,000 naira, dengan merujuk realiti ekonomi semasa, khususnya kadar inflasi yang tinggi di negara itu. – Bernama, 19 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen