Jokowi, Prabowo masing-masing isytihar menang presiden


Calon Presiden Indonesia Joko Widodo yang bergandingan dengan tokoh ulama Ma'aruf Amin mendakwa regunya unggul dengan jumlah undi 54.5% berbanding pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno yang mendapat 45.5%. – Gambar AFP, 19 April, 2019.

CALON Presiden Indonesia Joko Widodo dan Prabowo Subianto masing-masing mendakwa menang pemilihan yang berlangsung Rabu lalu ketika badan penyelia pilihan raya masih lagi mengira keputusan yang hanya akan disah dan diumumkan bulan depan, lapor media di republik itu.

Jokowi yang bergandingan dengan tokoh ulama Ma’aruf Amin mendakwa regunya unggul dengan jumlah undi 54.5% berbanding pasangan Prabowo dan Sandiaga Uno yang mendapat 45.5%. 

Angka itu dirumus berdasarkan hasil kiraan cepat oleh 12 badan kaji selidik yang diguna pakai oleh pelbagai media sejak hari pengundian.

“Kita tahu yang namanya penghitungan quick count cara penghitungannya ilmiah. Dari pengalaman pilihan raya umum lalu akurasinya 99% hampir sama dengan penghitungan real count,” kata Jokowi, seperti dipetik CNBC Indonesia.

Bagaimanapun, beliau cepat mengingatkan semua pihak untuk terus bersabar menunggu keputusan rasmi yang akan diumumkan suruhanjaya pilihan raya.

Kiraan cepat adalah unjuran yang dibuat berdasarkan trend pengiraan di pusat pengundian, yang tidak semestinya tepat berbanding kiraan sebenar secara rasmi oleh badan pengendali pilihan raya.

Jokowi membuat pengumuman itu didampingi calon naibnya, Ma’aruf dan pemimpin parti politik yang mendukung mereka, yang turut disertai bekas presiden Megawati Soekarnoputri.

Sementara itu, Prabowo juga mengisytiharkan beliau menang pemilihan berdasarkan kiraan sebenar yang dikumpulkan oleh pasukan kempennya.

Prabowo Subianto (kiri) juga mengisytiharkan beliau menang pemilihan berdasarkan kiraan sebenar yang dikumpulkan oleh pasukan kempennya. – Gambar AFP, 19 April, 2019.

Prabowo menegaskan tidak mahu percaya hasil kiraan cepat pelbagai badan kaji selidik yang merumuskan beliau sekali lagi kalah dan gagal dalam percubaan mahu jadi presiden Indonesia.

“Hari ini saya Prabowo Subianto menyatakan bahawa saya dan Sandiaga Uno mendeklarasikan sebagai presiden dan naib presiden tahun 2019-2024, berdasarkan perhitungan lebih dari 62 peratus real count dan (borang keputusan dari pusat mengundi) yang telah kami kumpulkan,” katanya, seperti dipetik pelbagai media.

Prabowo membuat perisytiharan kemenangannya untuk kali yang ketiga sejak pengundian selesai kelmarin.

Beliau juga membuat pengumuman itu didampingi calon naibnya, Sandiaga, yang bagaimanapun diam dan tidak membuat sebarang kenyataan kepada media, lapor Tempo.

Berdasarkan kiraan cepat, Prabowo dikesan menang di 19 wilayah terutamanya di Sumatera serta di Kalimatan Barat dan Kalimantan Selatan, dan sebahagian besar Sulawesi.

Jokowi pula sebaliknya menang hanya di 15 wilayah tetapi meraih undi besar yang datang dari Jawa Timur dan Jawa Tengah.

Sementara itu, pasukan kempen Prabowo-Sandiaga menyatakan sedia mengheret pilihan raya presiden ini ke mahkamah jika keputusan rasminya nanti berbeza dengan hasil pengiraan mereka. – 19 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen