Jumlah orang awam maut, cedera serangan udara di Tripoli meningkat


Seramai 79 orang awam menjadi mangsa sama ada maut atau cedera, termasuk 18 kematian yang disahkan dalam keganasan di Tripoli baru-baru ini. – Gambar EPA, 19 April, 2019.

SERANGAN udara, bedilan artileri, tembakan roket dan senjata berat lain merupakan antara sebahagian serangan yang dilancarkan ke atas ibu kota Tripoli, Libya serta kawasan sekitarnya, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.

Secara keseluruhan, seramai 79 orang awam menjadi mangsa sama ada maut atau cedera, termasuk 18 kematian yang disahkan dalam keganasan baru-baru ini, kata Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

“Jumlah orang awam yang menjadi mangsa dan serangan ke atas harta awam serta infrastruktur menyaksikan peningkatan yang membimbangkan. Kami rasa mungkin terdapat lebih ramai mangsa yang maut atau cedera,” kata Dujarric pada taklimat rutin sambil menambah bahawa angka itu hanyalah bagi kes yang dapat disahkan.

“Setiausaha agung kini memantau rapi perkembangan di Libya, di mana serangan udara dan pertempuran sekali-sekala meletus di selatan Tripoli,” menurut jurucakap itu.

Pasukan PBB di Tripoli kini aktif membantu pemindahan orang awam dari kawasan yang terjejas akibat konflik, katanya.

PBB juga amat bimbang dengan laporan berkaitan pertempuran antara dua pihak di pangkalan udara Tamanhint berhampiran Sabha di selatan dan potensi konfrontasi itu tersebar luas di kawasan lain di Libya, menurut jurucakap itu.

“Kami kecewa dengan pertempuran berterusan yang kami lihat berlaku di bumi Libya. Rakyat Libya sekali lagi terpaksa berdepan penderitaan dan bedilan peluru secara rambang susulan penggunaan senjata berat di Tripoli,” kata Dujarric.

Memindahkan orang awam keluar dari kawasan yang terjejas akibat konflik masih menjadi cabaran, dengan hampir semua jalan raya utama dilaporkan dihalang dan terdapat risiko tinggi akan terkena tembakan, katanya sambil menambah bahawa hampir semua perniagaan tempatan menghentikan operasi di kawasan yang terjejas. – Bernama, 19 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen