TIGA pendaki profesional terkemuka dunia dilaporkan hilang dan dikhuatiri mati selepas berlaku runtuhan salji di gunung di barat Kanada.
Agensi taman negara Kanada berkata ketiga-tiga mangsa yang hilang itu ialah Hansjorg Auer, 35, dan David Lama, 28, dari Austria manakala seorang lagi adalah pendaki Amerika, Jess Roskelley, 36.
Media tempatan melaporkan mereka hilang pada petang Selasa di Taman Negara Banff. Pihak berkuasa melancarkan operasi mencari keesokan harinya.
Ketiga-tiga pendaki itu cuba mendaki bahagian timur Howse Pass iaitu laluan terpencil dan sukar, menurut Parks Canada.
Mereka menyertai sekumpulan atlet berpengalaman yang ditaja oleh syarikat peralatan aktiviti luar Amerika, The North Face.
Parks Canada berkata penyelamat menemui beberapa tanda runtuhan dan serpihan yang konsisten dengan peralatan mendaki dan ini memberi mereka andaian bahawa mangsa sudah mati.
Cuaca buruk menambah risiko runtuhan salji di kawasan pergunungan yang terletak di sempadan antara Alberta dan British Columbia.
Operasi mencari dihentikan atas faktor keselamatan. – AFP, 19 April, 2019.
Komen