Penduduk Sungai Kim Kim ambil tindakan undang-undang


Noel Achariam

Ahli jawatankuasa bertindak Taman Pasir Putih, Sujatha Ettickan berkata penduduk bersetuju Lawyers for Liberty mengambil kes mereka tetapi akan mengesahkan keputusan itu pada hujung minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2019.

PENDUDUK di Sungai Kim Kim memulakan tindakan undang-undang berhubung sisa toksik di Pasir Gudang, Johor dengan mengadakan pertemuan bersama wakil daripada  Lawyers for Liberty (LFL) pada hujung minggu.

Keluarga terjejas bencana, yang menyebabkan kira-kira 6,000 penduduk mendapatkan rawatan, sedang mendapatkan bantuan perubatan dan pampasan bagi anak-anak mereka yang jatuh sakit ketika kejadian.

Penduduk juga ingin menghantar mesej tegas kepada semua syarikat dan kilang di kawasan sekitar dan mengheret pihak bertanggungjawab terhadap bencana tersebut ke muka pengadilan.

Sisa toksik dibuang ke dalam sungai yang mengalir kira-kira 500 meter dari rumah mereka awal bulan lepas.

Anggota jawatankuasa bertindak Taman Pasir Putih, Sujatha Ettickan, berkata penduduk secara kolektifnya bersetuju LFL mengambil kes itu, tetapi akan mengesahkan keputusan mereka hujung minggu ini.

“Kami sedang mencari wakil undang-undang bagi kira-kira 99 mangsa, yang terdiri daripada orang dewasa dan kanak-kanak yang terjejas,” kata Sujatha kepada The Malaysian Insight.

“Dan kami secara umumnya bersetuju LFL akan mengambil kes kami. Akan ada pertemuan kedua hujung minggu ini.”

Sujatha berkata kumpulan peguam itu bersetuju mewakili mereka, sambil menambah kes itu akan mengambil masa antara enam bulan dan setahun di mahkamah.

Dalam mesyuarat itu, penduduk juga membangkitkan isu kos, yang akan dibincangkan lebih lanjut.

Pengasas Lawyers for Liberty, Latheefa Koya mengesahkan bertemu penduduk Sungai Kim Kim dan memberi mereka taklimat. - Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2019.

“Kami diberitahu untuk mengumpul laporan polis, yang kini mencecah lebih 200.

“Kami kini mendapat laporan polis individu dan apabila ia dikumpulkan, peguam akan memfailkan saman itu,” katanya.

Pengasas LFL, Latheefa Koya mengesahkan beliau bertemu dengan penduduk bagi taklimat selama tiga jam pada Sabtu tetapi enggan mengulas lanjut.

Pembuangan bahan kimia secara haram di sungai menyebabkan hampir 6,000 orang, kebanyakannya pelajar, jatuh sakit. Mereka dirawat kerana terhidu toksik.

Jabatan Alam Sekitar berkata 20 tan sisa kimia mungkin dibuang ke sungai yang mencetuskan krisis kesihatan alam sekitar dan masyarakat.

Sejumlah 111 buah sekolah di Pasir Gudang diarah tutup selepas pelajar mula jatuh sakit. Sekolah dibuka semula selepas tempoh bercuti pada 1 April.

Sementara itu, dilaporkan semalam polis Johor meminta bantuan Interpol untuk menjejaki warga Singapura berhubung dengan pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim.

Pihak berkuasa sehingga kini sudah menyoal 11 individu berhubung kejadian itu. Dua pengarah syarikat pemprosesan tayar terpakai dan pemandu lori didakwa bulan lepas. – 19 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen