Jumlah kemalangan sepanjang cuti perayaan Songkran menurun


Pusat Keselamatan Jalan Raya Thailand melaporkan sedikit penurunan dalam angka kemalangan jalan raya sepanjang tempoh cuti sempena perayaan Songkran, walaupun jumlah kes pemandu mabuk meningkat. – Gambar EPA, 18 April, 2019.

PUSAT Keselamatan Jalan Raya Thailand melaporkan sedikit penurunan dalam angka kemalangan jalan raya sepanjang tempoh cuti sempena perayaan Songkran, walaupun jumlah kes pemandu mabuk meningkat.

Dalam satu kenyataan ia memaklumkan bahawa semasa tempoh ‘Tujuh Hari Berbahaya Songkran” (11 April sehingga 17 April), 3,338 kemalangan dilaporkan berbanding 3,724 kes semasa tempoh kempen yang sama tahun lepas, yakni penurunan sebanyak 10.37 peratus.

“Tahun ini sejumlah 386 pengguna jalan raya maut dan 3,442 tercedera, penurunan sebanyak 7.66 peratus.

“Kes memandu di bawah pengaruh alkohol adalah salah satu faktor yang mengakibatkan kemalangan maut sepanjang cuti Songkran. Ia menyumbang 36.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan,” katanya.

Menurutnya, kawasan Nakhon Si Thammarat merekodkan jumlah kemalangan paling tinggi dengan 128 kes manakala Lop Buri dan Udon Thani merekodkan jumlah tertinggi kemalangan maut dengan 15 kes, manakala Nakhon Si Thammarat mencatatkan jumlah kecederaan pengguna jalan raya akibat kemalangan paling tinggi, menjangkau 136.

Media tempatan melaporkan bahawa Majlis Kebangsaan untuk Ketenteraman dan Keamanan memaklumkan bahawa pasukan Tentera, Polis serta Pentadbiran telah merampas 7,200 kenderaan daripada pemandu yang melakukan pelbagai kesalahan semasa tempoh cuti Songkran.  – Bernama, 18 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen