SPRM serbu lagi Maika Holdings


Alfian Z.M. Tahir

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, pegawai SPRM menyerbu pejabat Maika Holdings di Klang pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari dan mengambil beberapa dokumen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2019.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi menyerbu pejabat Maika Holdings di Klang, menurut sumber rapat siasatan.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, pegawai SPRM menyerbu pejabat berkenaan pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari dan mengambil beberapa dokumen.

“SPRM menyerbu lagi pejabat itu hari ini selepas menyerbu semalam.

“Operasi dijalankan pada waktu tengah hari dan mereka mengambil beberapa dokumen,” kata sumber.

Semalam, SPRM dilaporkan menyerbu pejabat utama Maika Holdings di Klang dan beberapa premis berkaitan petang semalam.

Kelmarin, SPRM datang ke pejabat setiausaha Maika Holdings di Brickfields dan mengambil beberapa dokumen.

Serbuan dilakukan selepas SPRM menerima dokumen berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dalam Maika Holdings daripada pemberi maklumat pada Mac.

Dokumen yang dilihat The Malaysian Insight itu mengandungi butiran dakwaan transaksi meragukan yang dibuat dari 2000 hingga 2007.

Menurut sumber, SPRM diarahkan mengambil tindakan terhadap Maika berikutan pendedahan yang dibuat oleh Sarawak Report pada akhir Februari.

Sarawak Report mendakwa Maika meluluskan jutaan ringgit dalam bentuk tunai dan bayaran dalam bentuk lain kepada syarikat berkaitan bekas ketua eksekutifnya S. Vell Paari.

Ia mendakwa dokumen baru dari prosiding likuidasi Maika mencadangkan Vell Paari mengambil berjuta-juta daripada dana tersebut yang berakhir dengan keruntuhannya, dengan wang itu kebanyakannya dipindahkan ke beberapa syarikat berkaitan dengan pemimpin MIC.

Vell Paari, yang juga setiausaha sagung MIC itu bagaimanapun menafikan sebarang salah laku dan mengatakan bayaran yang dibuat kepadanya ketika menjadi pegawai eksekutif adalah bayaran balik kerana Maika berhutang dengannya.

Beliau juga berkata laporan Sarawak Report berhubung perkara itu diterbitkan selepas cubaan mengugutnya gagal.

Vell Paari yang merupakan anak kepada bekas pemimpin MIC, S. Samy Vellu berkata, beliau dihubungi oleh dua pihak, yang mana salah satu daripadanya menuntut RM3.5 juta untuk hentikan artikel itu daripada disiarkan Sarawak Report.

Maika ditubuhkan oleh Samy Vellu pada 1980-an sebagai syarikat pelaburan, yang memfokuskan kepada masyarakat India.

Ia berjaya mengutip RM106 juta daripada 66,400 pemegang saham  — 70% daripadanya adalah golongan berpendapatan rendah — untuk aktiviti pelaburannya, tetapi keuntungannya didakwa disalurkan ke tempat lain.

Pada 2013, G Team Resources & Holding Sdn Bhd yang diterajui hartawan G. Gnanalingam dan S. Kunasingam, mengambil alih Maika. Pada 2015, G Team setuju untuk membayar balik kepada pemegang saham Maika yang belum menjual saham mereka.

Pemimpin MIC memberitahu The Malaysian Insight yang mereka tiada apa-apa untuk dikatakan tentang Maika Holding sejak ia diambil alih, dengan syarikat itu berpindah dari ibu pejabat MIC ke Klang.

Maika Holdings kini dalam proses likuidasi. – 18 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen