PIHAK berkuasa Indonesia hari ini memberi amaran untuk tidak melakukan sebarang tunjuk perasaan besar-besaran susulan calon presiden Prabowo Subianto menolak keputusan awal pilihan raya yang berpihak kepada Presiden Joko Widodo.
Ketua Polis Negara Tito Karnavian berkata, proses undian berjalan lancar dan selamat semalam dan tidak terganggu oleh sebarang demonstrasi.
“Jika ada tindakan menyalahi undang-undang atau tidak berpelembagaan yang mengancam kestabilan dan keselamatan awam, pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas. Kami tidak akan bertolak ansur dengannya.
“Saya membantah demonstrasi besar-besaran sama ada untuk meraikan atau menyatakan rasa tidak puas hati,” katanya.
Jalan di ibu kota Jakarta tenang hari ini selepas 190 juta pengundi di negara majoriti Islam mengundi pada sesi pemilihan semalam yang menampilkan 245,000 calon bagi jawatan presiden, anggota parlimen dan pemimpin tempatan.
Meskipun keputusan rasmi hanya dijangka diumum bulan depan, pengiraan awal oleh badan peninjau membayangkan Jokowi berada antara sembilan hingga 11 peratus di depan pesaingnya hari ini.
Kiraan awal menjadi indikator yang boleh dipercayai dalam pemilihan sebelum ini tetapi Jokowi belum lagi mengisytiharkan kemenangannya sebaliknya pesaingnya Prabowo Subianto bertegas beliau adalah presiden baharu negara itu.
Bekas jeneral yang mempunyai hubungan erat dengan diktator Suharto yang jatuh pada 1998 sebelum ini memberi amaran akan mencabar keputusan itu di mahkamah sekiranya beliau kalah dan menganjurkan tunjuk perasaan di jalan atas dakwaan penipuan undi.
“Kami tidak akan gunakan taktik menyalahi undang-undang kerana kami sudah menang.
“Bagi mereka yang mempertahan (pesaing saya), saya akan tetap pertahan anda. Saya adalah presiden baharu Indonesia,” katanya semalam.
Lelaki berusia 67 tahun itu sudah lama mengimpikan jawatan tertinggi negara itu kalah dengan Jokowi pada 2014 dan mencabar keputusan itu di mahkamah namun gagal.
Beliau dikecam netizen yang mempersendakannya kerana enggan menerima keputusan tidak rasmi.
“Sesungguhnya kami bersimpati dengannya bukan kerana dia kalah pilihan raya (lagi) tetapi kerana dikelilingi orang yang menyokongnya sehingga dia seperti zombie yang tidak tahu membezakan antara realiti dan mimpi,” menurut seorang pengguna Twitter dengan 165,000 pengikut.
Media tempatan menyeru perpaduan dengan akhbar utama Kompas menulis ‘Ayuh Bersatu’ manakala Tempo mengisytiharkan ‘Sekali Lagi’ buat Jokowi.
Pasaran saham menyambut baik keputusan awal itu dengan indeks komposit Jakarta dan mata wang rupiah kedua-duanya mengukuh apabila perdagangan dibuka pagi ini. – AFP, 18 April, 2019.
Komen