2 kontraktor dibayar RM156,500 ubah suai rumah Najib


Bede Hong

Bekas perdana menteri Najib Razak meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas perbicaraannya melibatkan dana SRC Antarabangsa hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 18 April, 2019.

DUA kontraktor memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa mereka menerima cek berjumlah RM156,500 untuk menjalankan kerja paip, membina kabinet dan kerja pengubahsuaian lain di kediaman peribadi Najib Razak pada 2014 dan 2015.

Wang itu datang dari akaun milik bekas perdana menteri itu, kata pendakwa raya.

Pereka, Zulkarnain Mohamad, 46, dari ABS Trend Master Sdn Bhd berkata, mereka membina sebuah stor, pantry, rak dan kabinet di rumah Najib di No 11, Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Muhammad Zakariyya Zearat Khan yang menguruskan syarikat perpaipan Moz Malaysian Sdn Bhd juga membina tangka air 12,000 liter untuk menyelesaikan masalah bekalan air di rumah bekas perdana menteri itu.  

Menurut keterangan awal oleh pegawai pemprosesan cek AmBank, Badrul Hisam Mohamad hari ini, kedua-dua lelaki itu merupakan saksi keenam dan ketujuh yang menerima cek dikeluarkan dari akaun bank Najib.

Badrul menunjukkan bukti bahawa cek RM100,000 yang dikeluarkan untuk ABS Trend Master bertarikh 12 Februari 2015 manakala satu lagi cek bernilai RM56,500 dikeluarkan untuk Moz Malaysia pada 24 Februari 2015.

Kedua-dua mereka mengesahkan menerima cek pada tarikh tersebut.

Zulkarnain memberi keterangan bahawa beliau menerima panggilan daripada Amirul yang merupakan pengurus kediaman peribadi Najib pada 2014.

Beliau berkata, dia bertemu Amirul di sebuah stesen minyak berhampiran kediaman itu sebelum dibawa ke sana.

“Saya tanya Amirul, apa yang patut saya buat? Beliau menjawab, ‘saya mahukan stor dan kabinet,” kata Zulkarnain ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.

“Saya bertanya, rumah itu milik siapa? Beliau menjawab Datuk Seri Najib dan saya berkata saya tidak layak. Tetapi dia berkata ia boleh dilakukan.

“Saya mengukur dan merangka serta membuat pelan. Saya panggil seorang pereka untuk membuat pelan binaan,” katanya. – 18 April, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen