POLIS menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kehilangan bekas ahli majlis Peter Chong Fook Meng dan juga bagi mengenal pasti sama ada kes itu ada kaitan dengan kehilangan Pastor Raymond Koh atau tidak.
Koh diculik pada 13 Februari di tepi Jalan SS4B/10 di Petaling Jaya sementara Chong, 54, kali terakhir dilihat meninggalkan rumahnya di Persiaran Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 5 April. Beliau dikatakan hendak keluar minum bersama rakannya dari Indonesia.
Anak lelaki Chong membuat laporan polis pada 8 April selepas semua cubaan untuk menghubunginya, gagal.
Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh memberitahu The Malaysian Insight pasukan petugas khas yang ditubuhkan itu membabitkan polis Selangor kerana Koh diculik di negeri itu.
Beliau berkata polis Persekutuan di Bukit Aman juga terbabit dalam siasatan itu.
“Ya, kami sudah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kes itu. Kami sedang bekerjasama dengan polis Selangor dan Bukit Aman,” katanya.
Katanya, buat masa ini kes Chong diklasifikasikan sebagai laporan orang hilang.
Sumber yang dekat dengan kes itu berkata polis sudah menemu bual anak lelaki Chong tetapi dia kelihatan seperti menyembunyikan sesuatu.
Pegawai penyiasat akan bertemu dengan anak lelaki Chong sekali lagi hari ini.
Polis mahu mendapatkan maklumat apa yang Chong lakukan dalam tempoh beberapa hari hingga beberapa bulan sebelum kehilangannya.
Dilaporkan Chong hilang selepas didatangi seseorang yang tidak dikenalinya yang berkata beliau dilihat menghadiri acara vigil memperingati Koh.
Kehilangan Chong menjadi viral di media sosial selepas beliau sebelum itu memuat naik di Facebook mengenai bagaimana beliau terserempak dengan individu tidak dikenali itu pada 31 Mac dan turut memberi amaran supaya berhati-hati.
“Dia kata dia kenal saya, yang saya sula pergi protes dan vigil. Saya tanya dia dari mana? Saya risau sedikit dan lihat sekeliling tetapi tidak ada sesiapa di situ.
“Dia kata dia sokong apa yang saya buat. Dia kata ‘tapi mahu hati-hati’. Sekarang banyak orang tiba-tiba hilang. Mereka semua tahu mana orang tinggal.
“Saya tanya, mereka itu siapa? Dia hanya kata, pandai-pandailah, jaga diri bos. Dan terus berlalu.”
Chong juga memuat naik di Twitter yang dia menghadiri upacara vigil Koh.
Koh, 62, diculik selepas sekumpulan lelaki terlatih menahan kereta Honda Accord warna perak yang dipandunya di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya.
Rakaman CCTV ketika Koh diculik jadi viral di sosial media, menunjukkan penculikan itu dilakukan secara profesional membabitkan 10 lelaki dalam 3 kereta jenis SUV warna hitam.
Chong, yang juga bekas ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya, berkhidmat untuk 1 panggil dari 2014 hingga 2015. Beliau juga bekas pegawai khas kepada Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa daripada PKR. – 10 April, 2017.
Komen