SYARIKAT Internet harus membuang kandungan pengganas dalam tempoh sejam selepas ia menerima arahan untuk berbuat demikian daripada pihak berkuasa, bagi memerangi radikalisasi dan menyumbang kepada keselamatan awam, lapor agensi berita China Xinhua memetik cadangan yang diluluskan Parlimen Eropah pada Rabu.
Sebaik sahaja sebuah syarikat Internet yang menjadi hos kepada kandungan yang dimuat naik pengguna (seperti Facebook atau YouTube) yang menawarkan perkhidmatan mereka di Kesatuan Eropah (EU) telah menerima perintah untuk membuangnya daripada pihak berkuasa kebangsaan yang kompeten, mereka mempunyai tempoh sejam untuk berbuat demikian atau melumpuhkan akses kepadanya di semua negara anggota, menurut cadangan itu.
Bagaimanapun platform Internet secara amnya tidak diwajibkan memantau maklumat yang mereka hantar atau simpan, dan tidak perlu secara aktif mencari fakta bagi menunjukkan kewujudan aktiviti haram, menurut cadangan itu.
Cadangan itu telah diluluskan dengan 308 undi menyokong berbanding 204 undi menentang manakala 70 lagi berkecuali.
Bagaimanapun undian pada Rabu tidak bermakna ia kini menjadi undang-undang EU. Parlimen Eropah yang baharu, selepas pilihan raya dalam bulan Mei, akan berunding dengan Majlis Kesatuan Eropah berkaitan bentuk akhir teks undang-undang itu. – Bernama, 18 April, 2019.
Komen