Penipu ambil kesempatan kebakaran Notre-Dame


Notre-Dame, mercu tanda bersejarah Perancis terbakar Isnin lepas, menyebabkan kemusnahan besar kepada strukturnya. – Gambar AFP, 18 April, 2019.

PENIPU mengambil kesempatan ke atas kebakaran Notre-Dame untuk memperdaya penderma menyerahkan sumbangan mereka bagi membantu pembinaan semula gereja bersejarah di Paris itu, kata pegawai.

Yayasan Warisan Perancis, yang setakat ini sudah mengutip lebih €13 juta (RM61 juta) daripada penderma perseorangan untuk membantu proses baik pulih mercu tanda itu berkata, sebarang panggilan telefon atau email adalah palsu.

“Jumlah penipuan meningkat di Perancis dan luar negara,” kata yayasan itu semalam, menegaskan yang ia tidak pernah menggunakan telefon, email atau surat untuk meminta derma.

“Semua inisiatif ini satu penipuan.”

Yayasan itu menerima derma menerusi laman webnya (don.fondation-patrimoine.org), akaun Facebooknya, PayPal, stesen derma di Paris dan SMS untuk mereka yang menetap di Perancis.

Menteri Kebudayaan Perancis Franck Riester pada Selasa memberi amaran supaya berhati-hati dengan laman web yang mendakwa menyokong proses baik pulih Notre-Dame, yang musnah teruk terbakar pada Isnin.

Presiden Perancis Emmanuel Macron pula berikrar proses baik pulih monumen bersejarah negara itu akan disiapkan menjelang 2024, tahun Perancis jadi tuan rumah Sukan Olimpik musim panas. – AFP, 18 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen