BEGITU mudah misi kenabian jika hanya sekadar mahu menghancurkan berhala Uzza, Latta dan Manna.
Sekiranya satu-satunya tugas nabi adalah untuk menghancurkan arca, batu dan patung, maka sudah tentu ukuran prestasi kenabian cemerlang dek menghancurkan berhala-berhala yang wujud.
Tidak perlu nabi menghadapi beban jerih perih ketika menyempurnakan amanah kewahyuan andai sekadar menumbangkan berhala ke tanah. Semua orang boleh jadi nabi jika semudah itu.
Namun, bukan begitu. Ujian yang dihadapi para nabi bukan sekadar menghancurkan berhala. Bukan masalah menghalang manusia menyembah batu yang boleh dimusnahkan bila-bila masa.
Sebaliknya ujian mereka berhadapan dengan manusia berhati keras seperti batu dek kedegilan, kesombongan dan kaku terhadap kebenaran Tuhan.
Mereka kelompok fanatik dan jumud terhadap kepercayaan yang mereka miliki. Mereka ingkar kebenaran kenabian dek taasub dan kerasnya hati.
Sebenarnya, nabi sesekali tidak mengatakan berhala itu mungkar. Menghukum bukan kerja hakiki kenabian. Sebaliknya nabi melarang penyembahan berhala secara literal kerana beliau tahu pemahaman masyarakat yang dangkal dan literal pasti mengundang penyembahan bentuk tanpa melihat di sebaliknya – manifestasi Wujud Sang Mutlak.
Nabi bukan tidak menghalang umatnya menyembah berhala tetapi nabi mahu mengajar umatnya kenal wujud Tuhan di sebalik berhala – penzahiran Tuhan.
Segala limpahan ilahi wujud pada seluruh alam dalam menerima ruh ilahi yang tidak pernah habis dan semuanya berasal dari-Nya yang tersuci (faydil al-aqdas) – diterjemah nama-Nya ke segenap ruang alam melalui penyingkapan manusia dan alam – khalifah.
Maka, baginda mahu membangunkan pesan kemanusiaan yang termaktub dalam asma’ Tuhan dek ketiduran manusia mengabaikan citra-Nya sebagai khalifah di muka bumi.
Maka berhala tidak sama sekali dimanifestasikan kepada penzahiran Tuhan melainkan kesyirikan tanpa sedari. Hal itu pernah terjadi antara kaum Nabi Nuh dan Nabi Nuh. Hatta umat jahili pada zaman Rasulullah.
Berhala dalam diri
Hal inilah yang cuba baginda elak terhadap kaum Musyrikin Mekah. Baginda bersungguh-sungguh mahu menanggalkan berhala dalam kejahilan diri. Bukan menafikan sembahan berhala walau ada kebimbangan terhadap amalan itu.
Kerana hati yang keras dan ego tentu payah menyingkap kebenaran. Nabi mahu umatnya kenal Tuhan dan manifestasi-Nya dalam ragam alam ini – agar menjadi hamba yang benar-benar rendah diri dan patuh kepada Tuhan. Bukan sekadar kenal Tuhan secara zahir semata-mata tetapi busuk dan keras hati.
Nabi bukan bimbang kepada umat menyembah berhala. Sebaliknya yang dikhuatirinya mereka tidak segan silu melakukan kemusnahan di muka bumi dek mengabaikan pesan-pesan Tuhan – ketidakadilan dan penindasan.
Jadi baginda tidak mahu mengulangi kesilapan metodologi dakwah Nabi Nuh. Justeru baginda mengajar cara menyembah satu Tuhan dengan betul. Sebagaimana menyaksikan alam raya sebagai tanda kebesaran dan bukti wujud Tuhan.
Kerana alam guru terbaik dalam mengenal Tuhan bagi orang yang mahu berfikir dan menggunakan akal. Tidak sombong dan ego. Kerana kenal diri mampu kenal Tuhan. Ironinya, umat ketika itu begitu keras hati dan fanatik. Jauh sekali mahu kenal diri dek berasa diri paling benar dan hebat.
Lantas, nabi memerangi Latta, Uzza dan Manna yang ada di sanubari mereka. Sikap keras hati mereka mengakibatkan nur kebenaran sukar menembusi ke benak hati. Inilah yang digambarkan melalui surah al-Araf pada ayat 194 bahawa “petunjuk” tidak hadir saat hati menjadi batu, keras dan fanatik.
Manusia mudah menjiwai sikap keras, fanatik, prasangka dalam menanggapi kepelbagaian kebenaran. Maka kaum jahili susah menerima kebenaran dalam kehidupannya – Latta Uzza, Manna bersarang di dalam hati – sifat syaitan menghalang seseorang berbuat baik selaku hamba kepada pencipta-Nya.
Maka perlawanan nabi adalah menentang pengaruh syaitan atau berhala diri yang bermaharajalela lalu menatijahkan kemusnahan silaturahim, keadilan, toleransi dan kedamaian. Itu sikap yang bertentangan dengan kebaikan.
Itulah yang mahu disingkirkan baginda. Bukan berhala fizikal. Pendekatan itu berbeza dengan ajaran Nabi Nuh kepada umatnya gara-gara menuding umatnya salah kerana menyembah berhala dan gagal memahami tanzih Tuhan.
Kekeliruan dakwah Nabi Nuh
Umat Nabi Nuh tidak mudah meyakini risalah kenabian tanpa dibuktikan bentuk Tuhan. Mereka sembah Tuhan sebagai keserupaan, bentuk tanpa benar-benar menelusuri penyucian Tuhan (tanzih) – yang mengikat makna penzahiran terhadap bentuk arca, batu dan patung iaitu berhala.
Mereka tidak sembah sang Mutlak iaitu wujud Tuhan pada berhala. Sebaliknya mereka sembah Tuhan dalam bayangan rekaan minda dan imaginasi – eksistensi Tuhan di luar berhala. Mereka tahu ada tuhan tetapi gagal faham rububiyyah.
Jangan keliru seperti umat Nabi Nuh dan kesilapan pendekatannya. Rasulullah telah membuktikannya – mengajar kenal Tuhan.
Nabi Nuh terlalu obses menyeru nama Allah di tengah umatnya yang jahil. Kebenaran yang disampaikan Nuh kepada umatnya tidak seimbang. Walhal sikap umat Nabi Nuh menyembah berhala bukannya salah dari satu sudut. Cuma mereka gagal kenal esensi Tuhan di sebalik sembahan.
Kesilapan Nuh adalah terlalu fokus kepada penyucian (tanzih) Tuhan semata-mata dan gagal membuktikan kenampakan (tasybih) Tuhan.
Justeru, tanpa sedar ia menafikan sembahan berhala bagi kaumnya. Mereka marah tindakan Nuh cuba mengajar mereka tentang Tuhan.
Sepatutnya Nuh perlu mengajar mereka sebagaimana Muhammad mengajar bahawa tiada pemisahan antara penyucian dan keserupaan Tuhan yang akhirnya dimanifestasi ke dalam bentuk, arca, patung – berhala.
Itulah hikmah keharmonian yang mesti Nuh tonjolkan – kenabian atas hikmah kebijaksanaan menyingkap wujud Tuhan.
Maka mengambil tanzih semata-mata tidak sempurna. Hanya dikombinasi dengan tasybih barulah menjadi hamba paling tepat di hadapan sang Mutlak.
Nuh mewakili tanzih melawan penyembah berhala. Dia secara eksklusif menumpukan tanzih. Ini hanya mendatangkan kemarahan kepada penyembah berhala.
Jika Nuh mengkombinasikan tanzih dan tasybih, tentu mereka boleh menerima ajaran ketauhidan. Keluhan Nuh terhadap kaumnya termaktub pada ayat surah Nuh 71: 5-6.
Kesilapan umat Nuh adalah mereka gagal menjadikan sembahan berhala adalah manifestasi Tuhan yang Tunggal iaitu tasybih merujuk kepada tanzih. Mereka keliru dan tidak menyedari tuhan yang mandiri yang mereka reka-rekaan bukanlah manifestasi-Nya.
Selama ini kemusnahan bukanlah kerana gagal menentang kelompok yang menyembah berhala tetapi gagal memperagakan Tuhan ke atas semua manusia dan agama dek kegagalan membuang keegoan diri dan sikap kaku dan fanatik.
Sikap fanatik terjadi kepada umat Nuh kerana beliau gagal mengajar mereka kefahaman yang betul-betul benar tentang sang Mutlak – kesilapan metodogi.
Menghancurkan berhala keegoan
Selama ini kita mahu menampilkan umat sempurna dengan dikaburi imej islamik. Tumpuan kita sepatutnya mengajar umat kenal pencipta-Nya – menjadi muslim yang baik.
Bukan muslim hipokrit atas penjenamaan islamik. Pengarahan agama tidak menjadikan orang lagi beragama.
Sebaliknya kesolehan datang dari jiwa yang murni lagi ikhlas. Umat seharusnya menanggalkan berhala dalam diri.
Kalaulah dengan pemaksaan masyarakat Islam boleh berubah menjadi soleh, sudah lama kita tidak perlu menanggung beban kemusnahan dan kehancuran moral – kemanusiaan.
Walhal, sifat asli keagamaan lahir dari kepercayaan individu kepada tuhan dan kerelaannya untuk menyembah-Nya. Tanpa paksaan. Muslim soleh lahir daripada pembebasan Nafs al ‘ammarah bi al suu’ dari bisikan syaitan – kezaliman, kefanatikan, keganasan dan ektremis. Hal itu dapat dilerai dengan mengenal diri sekali gus pencipta-Nya.
Mengenal esensi Tuhan sebagaimana disebut Ibn Arabi melalui fusus al-hikam pada bahagian fas Adam bahawa keegoan dapat dilucutkan seolah-olah kita melihat cermin yang berbagai-bagai bentuk.
Kita menemukan wajah kita (diri kita) yang berbagai-bagai di dalam cermin. Setiap gambaran adalah diri kita seperti disebut surah al-Baqarah 2:115 bahawa ke mana kita menghadap di situlah tampak wajah Allah. Meskipun kita menghadap berhala sekalipun, itu hanya manifestasi-Nya. Hakikatnya wujud keberadaan-Nya – cerminan Tuhan.
Maka kebesaran, keberadaan Tuhan wujud dalam setiap sudut alam. Maka, tugas hakiki para nabi untuk menampakkan Tuhan kepada umatnya.
Kesilapan ego kita adalah mempertahan kaca itu sebagai kaca, alam sebagai alam. Memisahkan hakikat keberadaan Tuhan. Justeru Muslim harus menanggalkan diri atau berhala (nafsu) dengan memecahkan kaca lalu menampakkan diri kita hanyalah seorang hamba kerdil di depan-Nya.
Jika kita tidak pecahkan (menundukkan nafsu) diri kita sekarang, nescaya janji Tuhan dalam surah al-Ghafir 40:16 akan memaksakan diri kita memecahkan diri bagi menampakkan kebesaran-Nya dengan menanyakan – milik siapakah kerajaan hari ini? – 18 April, 2019.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen