PERSAINGAN dalam pasaran kerja kini makin sengit apabila graduan dan mereka yang berpengalaman, yang hilang pekerjaan kerana kesan ekonomi, terpaksa bersaing sesama sendiri.
Namun tiada jalan mudah juga bagi mereka yang berpengalaman kerana kebanyakan majikan hanya membuka tawaran kerja untuk graduan, umumnya kerana gaji untuk mereka lebih rendah.
Mohamad Zahrin Roslan, bekas pekerja industri minyak dan gas, adalah seorang antara pekerja berpengalaman yang terjejas. Beliau diberhentikan kerja Januari lepas kerana syarikatnya distruktur semula.
Dalam tempoh tiga bulan sejak menganggur, Zahrin, 31, menghantar 100 permohonan kerja. Daripada jumlah itu, hanya lima syarikat yang memberi maklum balas tetapi tiada satu pun yang memanggilnya untuk temuduga.
Tujuh tahun pengalaman bukan jaminan untuk dapat kerja, katanya.
“Persaingan terlalu tinggi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Zahrin antara ribuan pemohon kerja yang hadir di karnival pekerjaan khusus untuk mereka yang mahu kembali bekerja, anjuran Perkeso di Kuala Lumpur minggu ini.
“Saya dapat temuduga di beberapa tempat tetapi antara yang dipersoalkan ialah gaji saya yang terlalu tinggi dan sanggupkah saya terima tawaran kerja kalau gaji dikurangkan,” kata Zahrin, menceritakan pengalamannya hadir ke karnival pekerjaan itu.

Data Bank Negara Malaysia (BNM) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menunjukkan bagaimana Malaysia tidak menyediakan peluang pekerja berkemahiran tinggi untuk menampung jumlah graduan yang masuk ke pasaran kerja setiap tahun serta pekerja mahir yang diberhentikan.
Dalam laporan ekonomi 2018, BNM mendedahkan antara 2010 dan 2017, lebih banyak peluang pekerjaan berintensifkan buruh dan berkemahiran rendah yang dicipta (tumbuh pada kadar 4.6%) berbanding pekerjaan berkemahiran tinggi (2.8%) yang memerlukan pendidikan tinggi.
Menurut BNM, dalam tempoh itu, jumlah pemegang diploma dan ijazah dalam pasaran kerja meningkat purata 173,457 orang setiap tahun.
Ini lebih tinggi daripada jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi yang dicipta iaitu untuk 98,514 orang setahun.
MEF juga baru-baru ini menganggarkan sehingga 30,000 pekerja akan hilang pekerjaan tahun ini, meningkat daripada 21,000 orang tahun lalu, kerana kos operasi syarikat yang meningkat. Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Pada tahun lalu, lebih 21,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan dengan separuh daripada mereka bekerja di Lembah Klang.
Mereka yang hilang pekerjaan ini bersaing dengan lebih kurang 450,000 golongan belia yang baru memasuki pasaran kerja, berdasarkan purata jumlah tahunan sejak beberapa tahun lalu.
Tidak kisah gaji rendah, kerja lari bidang
Persaingan antara graduan dan pekerja berpengalaman yang ingin menyertai semula pasaran kerja menyebabkan sesetengah mereka terpaksa berpuas hati dengan gaji yang rendah yang ditawarkan bakal majikan atau menerima pekerjaan yang bukan bidang mereka.
Zito Azran Abdul Rahim, 40, yang mempunyai 18 tahun pengalaman sebagai pereka grafik berkata antara cabaran bagi mereka yang ingin kembali bekerja ialah tawaran gaji yang rendah yang tidak setimpal dengan pengalaman.
“Kerja itu ada, saya dipanggil dalam 12 kali tapi itulah gaji terlalu sikit yang tak sesuai dengan pengalaman. Kalau kita yang nak mula balik agak sukarlah,” katanya, yang kehilangan kerja selepas syarikat ditutup pada Oktober lepas.
“Tapi ada juga yang terima (tawaran gaji rendah) sebab tidak ada pilihan, cuma budaya macam ini tak sihat untuk pasaran,” tambahnya.

Sementara menunggu dapat pekerjaan tetap, Zito menyara hidup dengan memandu perkhidmatan e-hailing selain mengambil upah membuat rekaan grafik secara sambilan.
Disebabkan persaingan itu juga, Manesh Kumar, 25, yang baru tamat pengajian kolej tidak kisah ditawarkan gaji rendah walaupun sebelum ini beliau menolak tawaran kerja yang ada kerana faktor gaji yang tidak sesuai.
“Selepas setahun saya cari kerja tak dapat, jadi sekarang tak kisah berapa saya terima,” kata graduan lulusan pentadbiran perniagaan yang kini menyara hidup dengan bekerja secara sambilan di pusat beli belah.
Bagi Ahmad Nazirul Mohamad, 25, persaingan tinggi menyebabkan beliau sanggup memohon kerja yang lari daripada bidang dipelarinya iaitu kejuruteraan.
“Bidang saya ini kebanyakan syarikat nak mereka yang berpengalaman. Itu yang mereka selalu tanya (waktu temuduga). Jadi saya tahu saya akan selalu bersaing dengan mereka yang lagi berpengalaman.
“Itu sebab saya minta juga kerja dalam bidang penjualan. Saya tak kisah,” kata graduan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang. – 18 April, 2019.
Komen