16 September hari paling sedih, kata pemimpin Sabah


Jason Santos

Bekas setiausaha kerajaan negeri Simon Sipaun berkata ramai warga Sabah kecewa bila segala yang diharapkan dengan pembentukan Malaysia tidak menjadi kenyataan. – Gambar EPA, 16 September, 2017.

TARIKH 16 September hari yang penuh pahit manis bagi kebanyakan warga Sabah, kata bekas setiausaha kerajaan negeri Simon Sipaun.

Dengan ada yang mengingatinya sebagai hari di mana Sabah, Sarawak, Malaya dan Singapura bergabung menjadi Malaysia pada 1963, sebahagian yang lain mengenangnya sebagai hari Borneo Utara lesap, katanya.

“Daripada rekod dan gambar hari perisytiharan Malaysia di padang bandar Jesselton, ada tanda kegembiraan dan harapan.

“Tetapi bagi saya 16 September, 1963, salah satu hari paling sedih dalam hidup saya. Ia hari di mana Sabah dan warga Sabah hilang satu-satunya peluang menikmati kemerdekaan sebenar,” kata Sipaun dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insight sempena Hari Malaysia.

Sipaun, 79, yang berusia 23 tahun ketika penubuhan Malaysia dan sedang melanjutkan pelajaran di New Zealand ketika kali pertama mengetahui cadangan Tunku Abdul Rahman untuk penggabungan itu.

“Pada masa itu, saya tidak terfikir cadangan pembentukan Malaysia akan benar-benar terlaksana. Saya tidak memandangnya secara serius,” katanya yang juga bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Bekas setiausaha kerajaan negeri Simon Sipaun berkata beliau mengingati hari pembentukan Malaysia sebagai hari hilangnya Borneo Utara. – Gambar The Malaysian Insight, 16 September, 2017.

Dalam temu bual itu, beliau menceritakan sejarah pembentukan Malaysia dan sama ada negeri asalnya Sabah kini seperti diharapkan ketika negara ini dilahirkan 54 tahun lalu.

Berikut sedutan temu bual dengannya:

TMI: Pada 27 Mei, 1961, ketika Tunku mengumumkan konsep Malaysia, apa respons pemimpin Borneo?

Sipaun: Pada 1961, Borneo Utara di bawah kawalan British. Pemimpin tempatan tidak ada peluang untuk lebih memahami akibat dan situasi berkaitan dengan cadangan Tunku itu.

Rakyat Borneo Utara tidak ada kesedaran politik. Tidak ada parti politik di Borneo Utara sehinggalah Ogos 1961 bila parti pertama, Pertubuhan Kadazan Kebangsaan Bersatu ditubuhkan.

TMI: Apa yang diharapkan oleh warga Borneo Utara terhadap penggabungan pada 1963?

Sipaun: Pada masa itu, saya tidak fikir cadangan pembentukan Malaysia akan benar-benar terlaksana. Namun, pada masa sama saya minat mengikut perkembangannya daripada sudut akademik kerana saya melanjurkan pelajaran dalam sains politik dan salah satu subjeknya ialah “federalisme”.

Saya masih ingat pensyarah kata sebelum persekutuan anda seperti ikan besar dalam tasik kecil. Selepas persekutuan anda jadi ikan kecil dalam tasik besar. Saya fikir tidak menarik pun keadaan begitu.

Persatuan pelajar Borneo di Victoria terdiri daripada pelajar dari Borneo Utara, Sarawak dan Brunei menentang idea Malaysia kerana takut ia menjadi satu lagi bentuk penjajahan.

Mereka sangat curiga terhadap niat pemimpin Malaya dan Singapura.

Mereka sedar Malaya dan Singapura dan wilayah Borneo tidak ada banyak persamaan dan dipisahkan hampir 2,000km dengan Laut China Selatan.

Jika adapun penyatuan politik, ia sudah tentu sangat artifisial. Akan wujud faktor yang berpecah belah berbanding bersatu. Sumber asli seperti minyak dan gas di wilayah masing-masing akan terpaksa dikongsi antara kerajaan pusat dan negeri.

Wilayah Borneo akan hilang peluang menikmati kebebasan dan kedaulatan dengan kemampuan menentukan nasib sendiri dan dengan kerusi berasingan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

TMI: Apa matlamat dan objektif Jawatankuasa Rundingan Solidariti Malaysia? Pemimpin mana memainkan peranan utama?

Sipaun: Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Donald Stephens (kemudian dikenali sebagai Muhammad Fuad Stephens). Ia ditubuhkan susulan Persidangan Wilayah Persatuan Parlimen Komanwel di Singapura.

Tujuannya untuk menjelaskan konsep Malaysia kepada orang ramai, terutama rakyat Borneo Utara, Sarawak dan Brunei.

Stephens memainkan peranan utama memandangkan beliau pengerusi. Ia langkah bijak Malaya dan Singapura untuk memberikan beliau jadi pengerusi dan mempengaruhinya supaya menyokong pembentukan Malaysia.

Bagi wilayah Borneo, beliau dianggap sebagai pemimpin paling berpengaruh oleh pemimpin Malaya dan Singapura dan maka itu, memberikan Stephens kedudukan di mana beliau rasa dirinya penting, amat berguna. Secara tidak langsung, beliau dipergunakan tanpa menyedarinya.

(Nota: Stephens mengasaskan parti politik Pertubuhan Kadazan Kebangsaan Bersatu sebelum pembentukan Malaysia, dan menjadi ketua menteri pertama Sabah dan selepas Malaysia ditubuhkan.)

TMI: Kenapa pemimpin seperti Donald Stephens yang pada awalnya agak ragu-ragu terhadap penggabungan itu boleh berubah fikiran penghujung 1961?

Sipaun: Salah satu teorinya ialah Donald buat pusingan-U selepas bertemu Lee Kuan Yew. Katanya, Lee beritahu Donald yang dia akan jadi perdana menteri Malaysia seterusnya selepas Abdul Rahman dan dia akan jadikan Donald timbalannya.

Donald nanti kemudiannya akan jadi PM Malaysia, menggantikan Lee. Dengan pembentukan Malaysia, Donald akan jadi ketua menteri Sabah pertama. Ini satu lagi insentif untuknya bagi menyokong pembentukan Malaysia. Mungkin ada insentif lain.

Lee berasakan pada masa itu Singapura ada kepentingan untuk bergabung dengan Malaya. Secara geografinya Singapura sebahagian daripada Malaya. Singapura tidak ada sumber asli, malah tidak cukup air pun untuk keperluan mereka sendiri. Bersendirian bukan satu pilihan untuk Singapura.

Abdul Rahman pula tahu jika persekutuan itu hanya Malaya dan Singapura, jumlah China akan melebih orang Melayu.

Inilah di mana wilayah Borneo mula termasuk dalam cadangan itu. Pengambilan wilayah Borneo difikirkan selepas itu. Lee dan Abdul Rahman mahu Malaysia dilaksanakan tetapi atas alasan yang berbeza.

TMI: Apakah itu Suruhanjaya Cobbold?

Sipaun: Susulan siri mesyuarat antara British dan kerajaan Malaya, dipersetujui yang sebelum keputusan dimuktamadkan, perlu untuk memastikan pandangan rakyat Borneo Utara dan Sarawak.

Suruhanjaya itu terdiri daripada pengerusi dan empat ahli, dua dicalonkan kerajaan British dan dua lagi oleh kerajaan Malaya yang akan menjalankan tugasan itu.

Pengerusi suruhanjaya itu ialah Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England. Maka, ia popular dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold.

Ahli lain ialah ketua menteri Pulau Pinang Wong Pow Nee, setiausaha tetap kementerian hal ehwal luar Malaya Ghazali Shafie, bekas gabenor Sarawak Anthony Abell, dan bekas ketua setiausaha Malaya David Whetherston.

Borneo Utara dan Sarawak tidak diwakili. Ia hanya suruhanjaya inkuiri, bukan referendum.

Suruhanjaya itu mengadakan 50 pendengaran di 35 pusat berbeza. 10 di Sarawak, 15 di Borneo Utara. Kira-kira 4,000 orang hadir di hadapan suruhanjaya itu.

Laporan itu menyimpulkan satu pertiga menyokong idea itu, satu pertiga cenderung menyokong dengan syarat ada jaminan, dan bakinya dibahagikan kepada mereka yang lebih suka Borneo Utara memperoleh kemerdekaan penuh dulu dan mereka yang menolak terus pembentukan Malaysia.

Kesimpulan yang dicapai tidak sebulat suara.

Suruhanjaya itu mentafsirkan dapatan mereka sebagai mereka yang berpihak kepada Malaysia dan demi kepentingan Borneo Utara dan Sarawak, untuk bergabung dengan negeri lain bagi membentuk Malaysia.

TMI: Apa pendapat anda mengenai penggabungan itu?

Sipaun: Secara peribadi, saya tidak fikir pembentukan Malaysia adalah pilihan terbaik untuk Borneo Utara. Pengalaman selama 54 tahun menyokong pendapat itu. Banyak masalah dihadapi Sabah hari ini adalah masalah pasca Malaysia.

Ini termasuk politik berlebihan berdasarkan kaum dan agama, rasuah, perhatian tidak adil dalam pengalaman pentadbiran yang baik, agihan dana pembangunan dan peluang tidak adil, penggubalan undang-undang yang membenarkan pihak berkuasa menahan tanpa perbicaraan adil dan terbuka, perkhidmatan awal berlebihan, dan tindakan afirmatif dicipta oleh kaum majoriti yang sudah pun mengawal semuanya dan segala-galanya yang dikaitkan dengan kerajaan demi kepentingan mereka.

Terdapat juga masalah pendatang tanpa izin dibenarkan masuk ke Sabah tanpa dokumentasi, penukaran agama secara paksa, rampasan Bible berbahasa Melayu, pertelingkahan kalimah “Allah” dan bergaduh berebut mayat, dan banyak lagi.

Brunei, yang bertukar fikiran pada saat akhir untuk tidak menyertai persekutuan itu jadi lebih baik berbanding Sabah. Rakyatnya tidak perlu membayar cukai. Ia tidak perlu berkongsi kekayaan dengan sesiapa. Seperti Brunei, Sabah ada sumber minyak dan asli lain. Bagi setiap 100 tong minyak dihasilkan di Sabah, 95 daripadanya pergi ke kerajaan persekutuan.

Namun, menurut laporan Bank Dunia 2010, Sabah ialah negeri termiskin di Malaysia. Dapatan itu disokong UNDP. Saya diberitahu oleh pegawai PBB di KL yang sekurang-kurangnya 50% orang miskin di negara ini, didapati di Sabah.

Menambah kepada masalah itu, rakyat Sabah tertakluk kepada cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Apa yang saya nampak hanya masalah dan kesengsaraan pada hari ini. Ini bukan Sabah yang saya harapkan, lebih 53 tahun kemudian.

Ada hikmah di sebaliknya untuk Singapura sama ada ia keluar atau dihalau daripada persekutuan pada 9 Ogos, 1965. Lihat pertumbuhan Singapura hari ini dan ia tidak ada sumber asli pun. Saya masih ingat bila Malaysia dan Singapura berpisah, satu dolar sama dengan RM1. Hari ini, sedolar Singapura sama dengan RM3. Apa maknanya itu?

TMI: Bila Malaysia ditubuhkan pada 16 September, 1963, ingatkah apa perasaan pada masa itu?

Sipaun: Saya tidak boleh bercakap bagi pihak orang lain. Daripada rekod dan gambar acara berkaitan pengisytiharan Malaysia di padang bandar Jesselton, penuh dengan tanda kegembiraan dan harapan.

Lebih menarik jika bertanya kepada mereka yang ada di situ menyaksikan acara itu dan masih hidup jika mereka mendapati Malaysia hari ini adalah seperti apa yang mereka harapkan 54 tahun lalu.

Bagi saya, 16 September, 1963 adalah salah satu hari paling sedih dalam hidup saya. Ia hari di mana Sabah dan rakyatnya hilang satu-satunya peluang mengalami apa sebenarnya kemerdekaan dan negara berdaulat dengan kemampuan untuk menentukan nasib sendiri, dan dengan kerusi berasingan di PBB. – 16 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen