Mahkamah arah pegawai BNM tunjuk bukti siasatan komunikasi


Bede Hong

Perbicaraan kes SRC International berkaitan Najib Razak masuk hari keempat, hari ini hakim memerintah saksi Bank Negara Malaysia untuk menyediakan bukti tambahan komunikasi antara pegawai AmBank dan 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 April, 2019.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan seorang saksi daripada Bank Negara Malaysia menyediakan dokumen tentang komunikasi antara jurubank dan 10 individu, termasuk Low Taek Jho dan bekas pegawai 1Malaysia Development Berhad.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan butiran komunikasi yang sebelum ini tidak dimasukkan dalam senarai bukti, perlu disediakan dan dikeluarkan oleh Pegawai Penyiasat BNM Ahmad Farhan Sharifuddin, sekiranya beliau masih memilikinya.

“Saya berpandangan yang permohonan untuk dokumen yang berkaitan dengan jurubank relevan. Saksi sepatutnya mengeluarkan transkrip mengandungi komunikasi tersebut,” kata Nazlan.

Beliau membuat keputusan itu selepas peguam bela dan pendakwa raya menghabiskan lebih 30 minit berdebat tentang kesahan dokumen tambahan tersebut untuk dijadikan bukti, seperti diperuntukkan Seksyen 51A Akta Keterangan.

Peguam Najib memohon dokumen komunikasi antara tiga pengurus AmBank- Joanna Yu, Daniel Lee dan Krystal Yap- dengan 10 individu.

Mereka ialah Low, bekas CEO dan pengarah SRC International Nik Faisal Nik Ariff Kamil, bekas pengarah Jerome Lee Tak Loong, bekas pengarah eksekutif kewangan 1MDB Terence Geh Choh Heng, bekas penasihat undang-undang 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas CEO SRC International dan presiden Mohammed Azhar Osman Khairuddin, bekas CEO 1MDB Ismee Ismail, bekas pengarah SRC International Suboh Md Yasin dan See Yok Peng.

Peguambela Najib berkata mereka mahukan akses kepada bukti komunikasi yang mungkin dilakukan menerusi email dan telefon jenama BlackBerry.

Peguam Harvinderjit Singh turut membacakan petikan dalam buku “Billion Dollar Whale”, yang mendakwa Yu melatih Jho Low untuk menggunakan BlackBerry bagi berkomunikasi secara sulit.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan butiran komunikasi yang sebelum ini tidak dimasukkan dalam senarai bukti, perlu disediakan dan dikeluarkan oleh Pegawai Penyiasat BNM Ahmad Farhan Sharifuddin (gambar), sekiranya beliau masih memilikinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 April, 2019.

Peguam Negara Tommy Thomas dilihat ketawa apabila Harvinderjit menghabiskan masa setengah jam membaca petikan buku tersebut untuk didengar mahkamah.

Harvinderjit, bagaimanapun, memberitahu hakim yang beliau tidak mengakui kewibawaan buku tersebut, tetapi menggunakannya sebagai contoh “betapa banyak” penerbitan dikeluarkan mendakwa wujud komunikasi sulit antara mereka yang dikaitkan dengan kes SRC.

Beliau berkata, penulis buku tersebut, wartawan Wall Street Journal Bradley Hope dan Tom Wright didakwa mempunyai akses kepada transkrip komunikasi dan dokumen lain ditemui penyiasat yang tidak didedahkan kepada pasukan pembelaan Najib.

Dalam buku tersebut, Yu didakwa menjadi orang perhubungan utama Jho Low di AmBank.

Pengawai Penyiasat BNM Ahmad Farhan Sharifuddin dalam keterangannya hari ini berkata Yu adalah pegawai perhubungan untuk 1MDB dan SRC International. Tetapi, beliau tidak mengingati sama ada Yu adalah pengawai perhubungan bank untuk Najib juga.

Permohonan kepada bukti komunikasi itu dikemukakan, walaupun Ahmad Farhan memberitahu mahkamah beliau tidak mengingati menjumpai sebarang komunikasi antara Low dan pegawai AmBank.

Ahmad Farhan adalah saksi keempat perbicaraan kes Najib berkaitan SRC International, juga memberitahu mahkamah yang dalam serbuan ke atas AmBank pada 6 Julai 2015, beliau bertemu Yu, Daniel Lee dan mungkin Crystal Yap. Katanya, beliau mengambil keterangan Yu dan Lee untuk siasatan kes lain yang berkaitan 1MDB.

Peguam Shafee Abdullah pula berhujah mendapatkan dokumen tambahan itu mungkin membolehkan Ahmad Farhan ingat semula butiran siasatan berkaitan kes yang sedang dibicarakan.

“Saya tak mencurigai kenyataannya. Dia nampaknya sangat teliti dalam kerja. Tetapi, dia mungkin terlupa sesuatu kerana dia catat perkara itu.”

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Isyak Yusoff membantah soalan pihak pembela berkaitan 1MDB, berkata ia mungkin memberi kesan kepada perbicaraan kes Najib yang lain dan melanggar Seksyen 136 Akta Keterangan.

Thomas pula berhujah yang soalan pihak pembela mungkin memberi kesan kepada penerimaan mahkamah terhadap keterangan saksi. Ia juga untuk melindungi Najib, tambahnya.

“Kami berterima kasih kepada AG kerana ambil kira perlindungan kepada kami,” sindir Harvinderjit.

Mahkamah diberitahu yang Pengurus BNM Bahrul Hisham Mohd dan Nimma Safira Khalid daripada Affin Bank dijadual akan memberi keterangan esok. – 17 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen