Sekarang kita fokus hubungan dengan China, kata Anwar


Noel Achariam

Rundingan semula ECRL berjaya, kita perlu beri tumpuan kepada hubungan dua hala, pelaburan dan perdagangan dengan China pula, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 April, 2019.

PUTRAJAYA perlu memberi perhatian kepada isu hubungan dua hala dan perdagangan dengan China sekarang memandangkan kemelut Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sudah selesai, kata Anwar Ibrahim.

“Umumnya, kerajaan berpuas hati tetapi kita perlu bergerak kepada isu hubungan dua hala, perdagangan dan pelaburan dengan China.

“Lawatan pertama dan kedua Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke China positif.

“Beliau berpendapat yang sama tentang nilai hubungan dua hala, perdagangan dan pelaburan,” katanya selepas menghadiri forum Funding Diversity @ Sunway University hari ini.

Jumaat lalu, Malaysia berjaya mencapai persetujuan dengan China untuk mengurangkan kos pembinaan fasa 1 dan 2 ECRL kepada RM44 bilion daripada kos asal mencecah RM65.5 bilion.

Di bawah perjanjian baharu itu, jajaran akan dipendekkan sebanyak 40km dan melibatkan hentian di Negeri Sembilan, laluan sebelum ini yang melintasi Bentong dibatalkan.

Selepas Pakatan Harapan merampas Putrajaya pada pilihan raya umum Mei lepas, Dr Mahathir menggantung pelaksanaan projek itu kerana kos terlampau tinggi dan terma “tidak adil” untuk Malaysia dalam perjanjian ditandatangani pentadbiran Najib Razak sebelum itu.

Jabatan Perdana Menteri berkata pengurangan itu pastinya memberi manfaat kepada Malaysia dan mengurangkan beban kewangan negara.

Selepas kejayaan rundingan semula itu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menandatangani perjanjian tambahan dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bagi menyambung semula projek itu.

Perjanjian itu meliputi aspek teknikal, perolehan, pembinaan dan pentauliahan ECRL. – 17 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen