SEEKOR rusa haiwan peliharaan membunuh seorang lelaki dan menyebabkan seorang wanita cedera parah di kawasan luar bandar Australia, semalam.
Perkhidmatan kecemasan dihubungi di Victoria pada awal pagi dan mendapati pasangan itu dalam keadaan cedera parah. Kedua-dua mangsa berusia 46 tahun.
“Mangsa lelaki maut di tempat kejadian,” kata polis.
“Mangsa wanita dibawa ke hospital di Melbourne, beliau dalam keadaan kritikal.”
Stesen penyiaran ABC berkata lelaki terbabit diserang ketika hendak memberi makanan kepada haiwan itu, sementara isterinya cedera apabila cuba menyelamatkannya.
Seorang anak lelaki mangsa menyelamatkan ibunya dengan memukul rusa itu dengan kayu, katanya.
Rusa itu kemudian dibunuh untuk menjaga keselamatan paramedik di tempat kejadian, kata polis.
ABC melaporkan rusa itu disimpan di rumah itu selama enam tahun.
Persatuan Rusa Australia berkata agak jarang berlaku untuk rusa menyerang manusia.
“Ia jarang berlaku, tetapi ada insiden untuk rusa yang dikurung menyerang manusia, terutama ketika musim mengawan musim luruh,” kata persatuan itu.
Rusa dibawa masuk ke Australia pada abad ke-19, kebanyakannya bagi tujuan berburu.
Tetapi populasinya membiak di seluruh negara dan perlu dikawal kerana di kebanyakan kawasan, mereka dianggap haiwan perosak. – AFP, 17 April, 2019.
Komen