UGANDA bersedia menawarkan suaka kepada bekas presiden Sudan Omar al-Bashir dan keluarganya, lapor agensi berita Anadolu memetik menteri luar Uganda pada Selasa.
‘‘Andai Bashir atau ahli keluarganya memohon suaka, permohonan mereka akan dipertimbangkan oleh presiden,’’ kata Okello Oryem.
Katanya, Bashir sebelum ini telah banyak menyumbang kepada usaha perdamaian di rantau itu selain memainkan peranan penting dalam perjanjian damai Sudan Selatan.
Baru-baru ini Bashir digulingkan tentera, beberapa bulan selepas bantahan besar-besaran terhadap kepemimpinan selama tiga dekad dan beliau kini diletakkan di bawah tahanan rumah di ibu kota Khartoum.
Ketika bertemu dengan jawatankuasa Parlimen, Oryem berkata antara agenda perbincangan termasuk isu Sudan.
Beliau berkata Uganda sentiasa mengikuti perkembangan di Sudan dan berharap peralihan kuasa di negara itu berjalan lancar.
Pada 2009, Bashir pernah didakwa oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan jenayah kemanusiaan. – Bernama, 17 April, 2019.
Komen