KALAU anda pengguna aktif WhatsApp atau aplikasi media sosial yang lain, jangan terkejut kalau selepas ini ternampak video pendek Dr Mahathir Mohamad muncul sebagai komen di garis masa anda.
Beberapa video pendek pengerusi Bersatu itu mula muncul sejak semalam dengan pelbagai aksi dan ekspresi wajah dalam format GIF.

Sumber parti Bersatu yang maklum tentang klip grafik video itu berkata ia dibuat untuk mendekati sebanyak mungkin pengguna Internet.
“Pengguna Internet hari ini bertindak balas cepat kepada berita atau komen dengan serta-merta.
“Mereka mahu memberi reaksi dengan cepat dan betul-betul bermakna, jadi mereka melakukannya dengan klip GIF,” katanya, yang bercakap kepada The Malaysian Insight tanpa mahu identitinya didedahkan.
“Dalam masa beberapa saat saja, visual yang padat ini meninggalkan kesan yang mendalam.”
Jelas sumber itu lagi, klip dalam format GIF merentas sempadan bahasa, sehingga kanak-kanak pun boleh memahaminya.
Media sosial yang sejak kebelakangan ini jadi platform komunikasi popular dalam kalangan rakyat Malaysia turut menjadi medan kempen politik yang dilihat semakin rancak menuju pilihan raya umum ke-14.
Laporan The Digital News Report 2017 baru-baru ini menyebut 51% daripada pengguna Internet di Malaysia menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan maklumat dan berkongsi cerita atau berita.
Ia merupakan platform yang kedua popular dalam kalangan pengguna Internet di Malaysia selepas Facebook (58%), diikuti YouTube (26%), WeChat (13%) and Instagram (13%).
Satu kajian lain oleh TNS GLobal pula mendapati Malaysia adalah negara terbanyak menggunakan WhatsApp dengan 77%, diikuti oleh Facebook Messenger dengan 41%.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak baru-baru ini berkata WhatsApp popular kerana antara lain mudah serta cepat untuk berhubung dan berkongsi maklumat selain menjimatkan kos.
“Dalam politik, WhatsApp adalah alat kempen politik yang berkesan dan meluas. Bayangkan satu kumpulan WhatsApp mempunyai 200 ahli. Jika seseorang itu mempunyai 10 kumpulan WhatsApp, dalam masa yang singkat beliau sudah boleh berkongsi maklumat dengan 2000 orang,” katanya dalam satu tulisan di blognya. – 16 September, 2017.
Komen