PEGAWAI Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengarahkan serbuan ke atas AmBank pada 6 Julai 2015, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini yang semua dokumen yang dirampas dalam operasi itu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas.
Ahmad Farhan Sarifuddin berkata, beliau menerima permohonan serahan itu daripada Pegawai SPRM Wong Chiew Hoong tahun lepas dan menyerahkan lapan fail dokumen asal.
Sebelum ini, beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau diarahkan Pengarah BNM Abdul Rahman Abu Bakar supaya menjalankan siasatan ke atas Kumpulan AmBank di bawah Bahagian 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfa).
Ahmad Farhan kemudian mengarahkan Pegawai Penyiasat BNM Azizul Adzani Abdul Ghafar untuk mengetuai serbuan dijalankan pada 6 Julai. Azizul kemudian menyerahkan dokumen tersebut keesokan paginya.
Sebelum itu, ketika disoal balas peguambela Harvinderjit Singh, Azizul menegaskan keputusan meletakkan siasatan kes di bawah Seksyen 4(1) Amlatfa diputuskannya.
Azizul dalam keterangan berkata walaupun beliau diberi taklimat mengenai serbuan ke atas AmBank, beliau tidak ingat wujud arahan untuk meletakkan kes itu di bawah Seksyen 4 ketika laporan polis dibuat pada malam selepas serbuan.
Prosedur BNM mewajibkan pegawai penyiasat membuat laporan polis selepas setiap serbuan dilakukan.
Azizul menjelaskan beliau hanya meletakkan kes itu dibawah Seksyen 4(1) selepas menerima dokumen daripada Pengurus AmBank R Uma Devi.
Keterangan Azizul dicabar Harvinderjit.
Harvinderjit: Tolonglah tuan, awak jadi pegawai penyiasat sudah tujuh tahun. Menakjubkan yang selaku pegawai serbuan, awak buat andaian sendiri yang kesalahan lain (berkaitan transaksi) dibuat walaupun serbuan itu tidak ada taklimat (dibuat sebelumnya). Dalam laporan polis, awak nyatakan yang dalam 34 minit selepas terima dokumen tentang transaksi tertentu daripada Cik Uma Devi, awak berpandangan yang ada kesalahan dibuat Seksyen 4 yang berkaitan dengan transaksi tertentu.
Azizul: Saya tak ingat dokumen yang buatkan saya berpandangan begitu (letak kes bawah Seksyen 4).
Harvinderjit: Maafkan saya, tapi saya kena cakap, awak tak bercakap benar. Adakah awak cuba sembunyikan sesuatu?
Azizul: Tidak.
Harvinderjit: Saya tak percaya yang awak selaku seorang pegawai, buat pandangan sendiri berkaitan Seksyen 4 berdasarkan 10 dokumen ini (yang diserahkan Uma). Saya rasa awak tak jujur. Awak setuju?
Azizul: Saya tak setuju.
Harvinderjit: Tolonglah tuan, awak tak berlaku jujur. Adakah awak terima apa-apa arahan untuk datang ke perbicaraan ini dan tidak berikan keterangan yang benar.
Azizul: Tidak.
Serbuan ke atas AmBank menunjukkan transaksi antara RM5 hingga RM40 juta dibuat pada 2014 dan 2015, melibatkan akaun dikaitkan dengan SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari. – 17 April, 2019.
Komen