JET Airways, syarikat penerbangan yang pernah menjadi peneraju utama industri penerbangan di India, kini berhadapan masa depan yang suram jika gagal memperoleh bantuan kewangan dengan segera untuk kelangsungan operasinya.
Perkhidmatan antarabangsa masih digantung, dengan syarikat penerbangan berusia 25 tahun itu beroperasi hanya menggunakan sedozen pesawat untuk laluan domestik.
Syarikat itu mempunyai kumpulan 119 pesawat, namun kebanyakannya tidak diterbangkan kerana belum membuat bayaran kepada syarikat pemajak.
Bank mengadakan pertemuan dengan pengurusan syarikat penerbangan itu pada Isnin, namun belum mencapai persetujuan untuk menyediakan pembiayaan sebanyak 15 bilion rupee (AS$215 juta).
“Berdasarkan kedudukan mudah tunai syarikat itu yang kritikal, operasinya terjejas teruk. Syarikat kini menunggu bantuan segera daripada konsortium peminjam domestik yang diketuai State Bank of India,” kata Jet Airways dalam kenyataan pada Selasa selepas media India melaporkan syarikat penerbangan itu mungkin terpaksa menutup operasinya sementara waktu.
“Lembaga pengarah syarikat sedang berunding dengan pembiaya untuk memperoleh bantuan segera bagi menangani kemerosotan perkhidmatan selain meminimumkan kesulitan kepada penumpang,” katanya.
Syarikat penerbangan itu juga berkata ia sentiasa berhubung dengan pengawal selia Ketua Pengarah Penerbangan Awam dan Kementerian Penerbangan Awam.
Beberapa pemiutang meminta pengasas syarikat penerbangan itu Naresh Goyal, yang meletak jawatan sebagai pengerusi bulan lepas, menjamin lebih banyak saham sebagai cagaran sebelum memperoleh pinjaman baharu, menurut media tempatan. – Bernama, 17 April, 2019.
Komen