PEMBUAT kereta Jerman, BMW memanggil balik 360,000 kenderaannya di China sebagai sebahagian usaha mengesan punca kerosakan beg udara yang dihasilkan oleh pembekal Jepun yang kini dihentikan, Takata.
Kira-kira 20 orang meninggal dunia dalam kemalangan berkaitan dengan kerosakan beg udara Takata sejak 2013, menyebabkan sekurang-kurangnya 100 juta kereta dipanggil balik bagi semua jenis kenderaan.
Arahan itu menjejaskan hampir 273,000 model yang dibina menerusi kerjasama BMW dengan syarikat pembuatan China, Brilliance Automotive dan lebih 87,000 kereta import BMW, kata pihak berkuasa China.
Agensi itu berkata dalam satu kenyataan, kerosakan itu boleh menyebabkan beg udara mengeluarkan serpihan pada penumpang jika ia digunakan.
Ia tidak menyebut secara khusus insiden yang berpunca daripada pemasangan beg udara itu.
China memanggil balik berpuluh-puluh kereta BMW pelbagai model yang dibina antara 2000 dan 2018 termasuk beberapa siri i, X dan M.
Perkakasan yang disyaki punca kerosakan itu akan digantikan secara percuma, kata notis itu.
Diasaskan pada 1933, Takata menutup perniagaannya pada 2017 akibat krisis beg udara itu. – AFP, 17 April, 2019.
Komen