JOKO Widodo dijangka menang pilihan raya Presiden Indonesia hari ini namun pesaingnya Prabowo Subianto boleh membuat kejutan sekiranya gelombang ke arah perubahan melanda pengundi terutamanya di Jawa, kata Ilham Centre.
Gelombang perubahan yang diistilahkan sebagai “arus bawah”, yang mendukung Prabowo dan regunya Sandiaga Uno, dikesan ketara di Sumatera dan terasa hingga ke Jawa Timur, kata pengarah eksekutifnya, Azlan Zainal.
“Gelombang pasangan Prabowo-Sandi terus bergerak maju secara signifikan,” katanya, merumuskan tinjauan Ilham Centre di beberapa daerah di Indonesia, 10 hari terakhir menjelang pemilihan.
Menurut Azlan, penolakan terhadap Jokowi sangat terasa di Sumatera sementara Prabowo pula mendapat sokongan yang semakin luas di Jawa.
Beliau juga merumuskan Jokowi yang berganding dengan tokoh ulama Ma’aruf Amin masih mengungguli sokongan dari wilayah timur Indonesia merangkumi Sulawesi, Papua dan Maluku, selain wilayah lain termasuk Kalimatan.
“Persaingan masih terbuka, Prabowo-Sandi belum kalah dan Jokowi-Amin masih mempunyai kelebihan di hadapan. Sekiranya gelombang ini membadai ke Kepulauan Jawa, maka tanpa ragu pasangan calon Prabowo-Sandi mampu bakal keluar sebagai pemenang dengan majoriti tipis,” kata Azlan dalam satu kenyataan media.
Jokowi mencari mandat sekali lagi untuk memimpin negara dengan lebih 264 juta penduduk untuk penggal yang kedua. Beliau sekali lagi dicabar bekas jeneral Prabowo yang dikalahkannya dengan tipis lima tahun lalu.
Menurut Azlan, sokongan tokoh agama kepada gandingan Prabowo-Sandi, sesuatu yang jarang berlaku dalam sejarah pilihan raya presiden ini, juga mampu memberikan impak besar melonjakkan mereka ke depan.
“Pengisytiharan sokongan terbuka ulama berpengaruh Ustaz Abdul Somad dan Ustaz Adi Hidayat kepada pasangan Prabowo-Sandi telah memangkin sokongan gerakan mereka yang mahukan perubahan,” kata Azlan.
Ilham Centre juga merumuskan gandingan Jokowi-Amin akan mendapat sokongan meluas pengundi dari kelompok berpendapatan rendah dan kelas pekerja yang menghargai segala program rakyat yang diperkenalkan oleh pentadbirannya.
Walaupun pengalaman dan rakam jejak prestasi Jokowi dilihat memberikan harapan, Ilham Centre juga melihat kelebihan itu digugat dengan kempen sentimen agama dan identiti yang condong ke arah Prabowo.
“Sentimen agama, kaum, kedaulatan negara dan hak warganegara digarapkan sebaiknya bagi memangkin penolakan kepada Jokowi-Amin walaupun pada hakikatnya majoriti pemilih tidak mempunyai pilihan lain selain itu,” kata Azlan. – 17 April, 2019
Komen