PM umum bantuan RM30 juta naik taraf semua sekolah tahfiz


Low Han Shaun

Perdana Menteri Najib Razak akan mengadakan perbincangan dengan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi berkenaan “pelan tindakan” bagi sekolah tahfiz di seluruh negara. – Gambar EPA, 15 September, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak malam ini mengumumkan kelulusan bantuan berjumlah RM30 juta untuk menaik taraf semua sekolah tahfiz di negara ini, selepas tragedi kebakaran sebuah pusat tahfiz di Kuala Lumpur pada Khamis yang membunuh 23 orang pelajar dan gurunya.

Menurut Najib, kelulusan bantuan kewangan itu akan menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh pihak tertentu terhadap kerajaan kononnya kerajaan tidak membantu pembangunan sekolah tahfiz di Malaysia.

“Untuk pertama kalinya, kerajaan luluskan RM30 juta untuk semua sekolah tahfiz bagi menaik taraf keadaan struktur fizikalnya.

“Ini akan menjawab tuduhan bahawa kerajaan tidak membantu pembangunan sekolah tahfiz,” katanya dalam satu sidang media di perkarangan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur.

Najib dan isteri, Rosmah Mansor sebelum itu mengiringi Yang di-Pertuan Agong meninjau bangunan pusat tahfiz yang terbakar pada Subuh semalam. Turut serta Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Najib sebelum itu baru tiba dari luar negara selepas kunjungannya ke Amerika Syarikat bertemu Presiden Donald Trump dan dalam perjalanan singgah di London bertemu rakan sejawat Theresa May.

Menurut Perdana Menteri beliau akan mengadakan perbincangan dengan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi berkenaan “pelan tindakan” bagi sekolah tahfiz di seluruh negara.

Najib berkata apa yang berlaku di Kampung Datuk Keramat itu boleh dielak dan menambah beliau sendiri akan menyalurkan bantuan kepada semua mangsa.

“Dari segi bantuan, saya diberitahu kerajaan akan beri bantuan, Umno akan beri bantuan dan saya sendiri secara peribadi akan beri bantuan kerana anak-anak ini dan ustaznya datang ke Jalan Duta (kediaman tidak rasmi), setiap malam Jumaat.

“Tragedi ini dekat di hati saya. Rancangan kami ialah untuk memindahkan tahfiz ini ke sebuah bangunan baru dan mereka pun memang akan berpindah dalam masa beberapa hari lagi,” katanya.

Mengulas mengenai bentuk bantuan yang akan diberi, Najib berkata ada tiga kategori bantuan iaitu kepada keluarga kehilangan anak, mangsa cedera dan mangsa trauma akibat kebakaran berkenaan. – 15 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen