HAMPIR 300 orang ditahan dalam protes perubahan iklim yang masih berlangsung di London, yang menyebabkan beberapa bahagian di ibu kota Britain itu lumpuh, kata polis.
Penunjuk perasaan mula menghalang jambatan dan persimpangan jalan utama semalam, pada permulaan kempen ketidakpatuhan awam yang turut berlaku di beberapa bahagian di Eropah.
Protes itu dianjurkan oleh kumpulan kempen Extinction Rebellion, yang ditubuhkan tahun lalu di Britain oleh ahli akademik dan kini menjadi gerakan alam sekitar dunia.
Polis Metropolitan London berkata setakat petang semalam, 290 ditahan.
“Kami jangka demonstrasi akan berterusan sepanjang beberapa minggu,” kata polis.
Antara yang ditahan termasuk tiga lelaki dan dua wanita di pejabat Royal Dutch Shell kerana disyaki melakukan kerosakan jenayah.
Peserta kempen membuat grafiti dan memecahkan tingkap di bangunan Shell Centre.
Majoriti ditahan kerana melanggar peraturan ketenteraman awam dan menghalang lalu lintas di lebuh raya.
Protes itu menyaksikan ribuan orang menyekat Jambatan Waterloo London dan meletakkan pokok di dalam pasu di sepanjang jalan itu.
Kemudian, penunjuk perasaan berkhemah di Taman Hyde, membuat persediaan bagi demonstrasi selanjutnya. – AFP, 17 April, 2019.
Komen