RAJA Arab Saudi, Raja Salman menerima kunjungan Putera Mahkota Abu Dhani dan mengadakan perbincangan, lapor media, selepas sekutu negara teluk itu memberikan sokongan kepada pemerintah ketenteraan Sudan yang menggulingkan pemimpin veteran Omar al-Bashir.
Putera Mahkota Mohammed Zayed membincangkan tentang “pembangunan serantau” bersama raja dan puteranya yang berkuasa, Putera Mahkota Mohammed Salman, lapor Saudi Press Agency dalam satu laporan ringkas.
Selepas senyap beberapa minggu tentang kekecohan politik Sudan, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad mengeluarkan satu reaksi ringkas berhubung penggulingan Bashir selepas beberapa bulan protes jalanan berlangsung, mendesak supaya “kestabilan” dikembalikan dan “pemindahan kuasa berlangsung secara aman”.
Arab Saudi dan UAE menyuarakan sokongan kepada Majlis Tentera Transisi Sudan, dengan Riyadh berjanji memberikan pakej bantuan kepada rakyat Sudan.
Sudan memainkan peranan penting dalam kepentingan serantau Arab Saudi dan sekutunya, berpihak kepada Riyadh menentang Syiah Iran dan menyediakan tentera di peperangan diketuai Arab Saudi dalam perang Yaman.
Seorang pegawai kanan tentera Sudan semalam berkata pasukan dari Sudan akan terus berada di Yaman sehingga perikatan Arab mencapai matlamatnya.
Arab Saudi dan UAE campur tangan dalam perang Yaman pada 2015 untuk menentang pemberontak Huthi. – AFP, 17 April, 2019.
Komen