PULAU Margarita di Venezuela di Caribbean yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia, terpaksa ditutup semalam selepas 65 banduan terlepas dari penjara tempatan, kata pihak berkuasa.
Banduan terbabit melarikan diri dari penjara di bandar La Asuncion pada tengah malam Isnin.
Naib Admiral Alexander Velasquez yang mengetuai zon tentera Nueva Esparta berkata 159 banduan ditahan di penjara itu.
“Daripada 65, lima berjaya ditahan semula,” katanya.
Insiden seumpama itu biasa berlaku dalam sistem penjara Venezuela kerana pengawal yang tidak terlatih dan rasuah, selain terlalu ramai penghuni dan keselamatan lemah.
Kira-kira 2,200 anggota dikerahkan ke seluruh pulau itu untuk mencari banduan yang melarikan diri, kata Velasquez.
Dua pengawal penjara cedera akibat serangan ketika insiden melepaskan diri itu, lapor media tempatan, menambah sebelum melarikan diri banduan terbabit mencuri pistol, bom dan motosikal.
Pulau Margarita menjadi destinasi utama untuk pelancong asing dan sangat sibuk ketika sambutan Minggu Suci.
“Seluruh komuniti dihentikan, dengan pemeriksaan jalan diadakan untuk menjamin keselamatan,” kata Datuk Bandar Maneiro, Morel Rodriguez di Twitter.
Ketua kumpulan hak asasi banduan Carlos Nieto berkata penjara itu tidak ada pengawalan dan pemantauan yang lemah terhadap banduan.
Banduan terbabit dipindahkan dari penjara San Antonio yang juga terletak di pulau itu, tetapi ditutup sejak tiga tahun lalu.
Pada 2018, kira-kira 470 banduan terlepas dalam 70 insiden melarikan diri dari penjara di Venezuela, menurut A Window to Freedom. Daripada jumlah itu, 105 ditangkap semula. – AFP, 17 April, 2019.
Komen