PADA mata anak muda yang larut dalam pesona “Malu Apa Bossku” – jenama baharu bekas perdana menteri Najib Razak – faktor utama ia popular tentulah kerana stail bekas PM yang cool dan steady.
“Malu Apa Bossku” mencetus panik dalam kalangan banyak ahli politik terutama kerajaan. Penyokong Pakatan Harapan (PH) masih mengungkit soal jenayah kleptokrasi yang dilakukan Najib sebagai taktik memusnahkan imej “Malu Apa Bossku”.
Ditambah lagi imej motosikal Yamaha Y15ZR atau Y Suku dalam slanga anak muda, Najib dilihat berada dalam radar kehidupan paling dekat dengan generasi baharu.
“Ahli politik sekarang tidak mesra media terutama menteri, ” kata wartawan muda yang selalu ditugaskan di Parlimen.
“Imej wakil rakyat suka berkelahi dan suasana Parlimen yang penuh ketegangan, menjadikan anak muda beranggapan: orang politik suka buang masa dan kaki gaduh saja, ” tambahnya.
Kawan saya ini wartawan muda. Empat tahun pengalaman berada di Parlimen. Saya anggap itu satu pandangan saja.
Namun, ada banyak benarnya. Saya sendiri menyampah menonton siaran langsung sidang Parlimen kerana dipenuhi aksi perang mulut dan ahli Parlimen dilihat lebih banyak bersikap “kaki gaduh” berbanding watak wakil rakyat.
Tanyalah wartawan Malaysia – siapa menteri Kabinet yang mereka suka? Pasti lambat dan terkial-kial untuk menjawabnya.
Cuba tanya senarai menteri yang mereka meluat dan berharap tidak ditugaskan membuat liputan. Jawapan macam peluru.
“O… saya tak suka menteri (?) ini sebab sinis bila jawab soalan.”
“Saya tak suka menteri (?) ini sebab suka berdalih dan asyik menuduh wartawan salah petik kenyataan.”
Atau: “Saya tak suka menteri (?) sebab belum siar pun kenyataannya, saya tahu jawapan itu tidak masuk akal!”
Selama 20 tahun di tiga stesen TV menjaga bilik berita dan ehwal semasa, sembilan bulan terakhir dalam kerjaya saya adalah period paling trending.
Kewujudan kerajaan baharu menciptakan gosip baharu, juga dalam kalangan wartawan.
Tema artikel ini sebenarnya mudah. Isu menteri gagal membina suasana berkerja yang dinamik dengan media massa. Malah, setiausaha akhbar (SUA) sekarang pun banyak yang mentaliti cap ayam.
Saya serius dan berterus-terang. Ketika menghubungi pegawai media menteri untuk sesi minum teh, dengan harapan kami (istilah kami sebab pertemuan ini babitkan dua lagi editor portal dan seorang kolumnis kanan) dapat berinteraksi dengan menteri.
Ini kisah enam bulan lalu, ketika berita-berita negatif terlalu banyak terhadap menteri ini. Justeru, kami di peringkat editor kanan berusaha mengadakan pertemuan. Menjernihkan kekeruhan.
Cuma, jawapan SUA mudah saja: Menteri sibuk.
Seorang editor kanan pernah mencetak tangkap layar jawapan SUA Menteri dan berkongsi dengan saya: Sila tanya orang lain. Ini bukan kerja menteri saya untuk jawab!
Perghhh…
Tema artikel ini ialah, menteri harus membina hubungan dengan media massa. Bukan hubungan projek atau beri hadiah – editor kanan tidak kemaruk pun – tetapi membantu membina jaringan komunikasi yang lebih baik.
SUA sekarang banyak yang hingusan. Dilantik jadi SUA tapi lagaknya melebihi menteri. Saya menerima banyak komen yang menunjukkan, betapa menyampahnya wartawan dan editor kanan terhadap beberapa SUA sedia ada.
Biadap, kasar, gagal dihubungi dan enggan memberikan akses komunikasi dengan menteri antara ciri-ciri sikap kurang matang SUA yang turut menjejaskan komunikasi media massa dengan menteri.
Jadi jangan harap menteri boleh trending dan popular macam Najib dan tidak perlu melatah dengan #terimakasihbossku.
Tidak perlu bermati-mati memusnahkan tanda pagar populariti Najib. Sebaiknya, lihat sahaja ke dalam diri dan bertanya: “Mengapa media anti sangat dengan menteri kami?”
Sebabnya ini era anak muda generasi baharu. Tidak kira yang jadi wartawan atau anak muda marhaen di jalanan. Asal wujud saja sikap bongkak (kaki gaduh) dan suka salahlah orang – anak muda akan menganggap menteri ini ‘tak boleh pakai’!
Eloklah tumpu ucapan di Parlimen dengan kredibiliti untuk bertanya dan menjawab soalan. Atau bersedia dengan idea-idea yang bijak dan berkepentingan awam. Elaklah berkelahi cara bodoh di Parlimen.
Anak muda mahukan menteri yang cool dan smart. Bukan yang kasar dan bongkak!
Tema artikel ini sekadar peringatan. Sebab cakap-cakap buruk pasal banyak menteri yang tidak berprestasi sudah berleluasa. Sekarang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sudah berulang kali terpaksa memberi jamin tiada rombakan Kabinet.
Itu tanda ada desakan yang kuat supaya dilakukan perubahan!
Tetapi berapa lama jaminan ini mampu Dr Mahathir pertahankan, kalau memang terbukti menteri yang ada tidak popular dan gagal prestasinya? – 16 April, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen