RAKYAT Indonesia mengundi hari memilih presiden dan wakil rakyat dalam pilihan raya umum yang sangat dibayangi kempen atas isu-isu identiti dan agama.
Presiden Joko Widodo mencari mandat sekali lagi untuk memimpin negara dengan lebih 264 juta penduduk untuk penggal yang kedua.
Beliau sekali lagi dicabar bekas jeneral Prabowo Subianto yang dikalahkannya dengan tipis lima tahun lalu.
Tetapi tidak seperti pada 2014, ketika beliau bertanding dengan kempen menolak elit politik dan tentera dalam politik republik itu, Jokowi kali ini turun gelanggan atas rekod prestasinya menerajui negara.
Kebanyakan tinjauan sokongan yang dilakukan badan penganalisis politik menunjukkan Jokowi mendahului Prabowo dengan peratusan dua angka, namun beberapa kaji selidik lain membayangkan lawannya itu semakin merapatkan jarak.

Pusat pengundian dibuka pukul 7 pagi (8 pagi waktu Malaysia).
Kiraan awal dijangka akan dikeluarkan beberapa jam selepas pengundian sebelum keputusan dijangka diketahui lewat malam nanti. Suruhanjaya pilihan raya Indonesia dijadual mengumumkan keputusan rasmi Mei ini.
Jokowi, 57, berganding dengan tokoh agama Ma’aruf Amin, 76, – langkah politik yang dilihat bertujuan memastikan sokongan golongan konservatif yang menolaknya pada 2014.
Langkah politik itu bagaimanapun dikritik penyokongnya yang progresif dan sederhana yang merasakan Jokowi semacam mengalah kepada tekanan konservatif. – 16 April, 2019.
Komen