2 bank digunakan untuk pengubahan wang haram berkaitan Najib


Bede Hong

Pegawai Penyiasat Bank Negara Azizul Adzani Abdul Ghafar, dalam keterangannya menyebut yang serbuan dilakukan ke atas AmBank Cawangan Jalan Raja Chulan yang mempunyai kaitan dengan SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 16 April, 2019.

SETAKAT ini, perbicaraan kes SRC International mendedahkan dua bank didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan jenayah berkaitan bekas perdana menteri Najib Razak. 

Saksi kedua, Pegawai Penyiasat Bank Negara Azizul Adzani Abdul Ghafar, dalam keterangannya menyebut yang serbuan dilakukan ke atas AmBank Cawangan Jalan Raja Chulan yang mempunyai kaitan dengan SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari. 

Pendedahan itu dilakukan selepas keterangan saksi ketiga, Penganalisis Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Mohammad Nizam Yahya yang berkata beliau mengetuai serbuan ke atas sebuah lagi bank, Affin Bank Berhad, juga di Jalan Raja Chulan bagi mendapatkan dokumen berkaitan dengan Unit Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SRC International, Ihsan Perdana. 

Pada 2015, akhbar kewangan berpengaruh Wall Street Journal melaporkan yang SRC International memindahkan RM40 juta ke dalam Gandingan Mentari pada 24 Disember 2014, yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Ihsan Perdana pada hari sama. 

Daripada jumlah itu, RM32 juta masuk ke dalam dua akaun peribadi AmBank yang kemudian didakwa milik Najib, dalam dua transaksi, setiap satu berjumlah RM27 juta dan RM5 juta untuk program CSR. 

Nizam memberitahu mahkamah hari ini yang beliau mengeluarkan notis kepada Affin Bank Berhad menurut Seksyen 37 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 pada 6 Julai 2015. 

Dalam keterangannya, Nizam memberitahu yang beliau mendapat dokumen berkaitan 14 transaksi Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata atau Rentas daripada Ketua Pegawai Perundangan dan Setiausaha Syarikat Affin Bank Nimma Shafira Khalid. 

Pegawai Bank Negara berusia 39 tahun itu juga memberitahu mahkamah yang beliau mendapatkan dokumen bukti lain pada 7,9,10 dan 13 Julai 2015. 

Dokumen asal kemudian diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 22 Jun 2018. 

Perbicaraan SRC International melibatkan Najib Razak mendedahkan dua bank digunakan untuk pengubahan wang haram dikaitkan dengan akaun banknya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 16 April, 2019.

Siasatan SRPM pada 2015 terhadap salah tadbir SRC Internarional, termasuklah Ihsan Perdana gagal menghasilkan pendakwaan mahkamah, menyebabkan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Khas SRPM Bahri Mohamad Zain meletak jawatan.

Nizam menambah yang beliau menerima dokumen bukti tambahan seperti borang buka akaun tiga akaun semasa Ihsan Perdana. 

SRC ditubuhkan pada 2011 untuk meneroka pelaburan strategik peringkat antarabangsa dalam industri tenaga. 

Ia adalah anak syarikat dana sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum diletakkan di bawah Kementerian Kewangan yang ketika itu diterajui Najib. – 16 April, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen