RAKYAT Indonesia akan mengundi pada pilihan raya umum 2019 (Pemilu 2019) esok, bagi memilih presiden untuk negara ketiga terbesar di dunia yang mengamalkan sistem demokrasi itu.
Lebih 192 juta pengundi berdaftar atau tepatnya, 192,828,520 pengundi, layak untuk mengundi untuk memilih presiden Indonesia bagi tempoh 2019/ 2024.
Ketua Komisi Pemilihan Umum Indonesia (KPU) Arief Budiman berkata lebih 780,000 Tempat Pemungutan Suara (TPS) atau pusat pengundian akan dibuka mulai jam 7 pagi hingga 1 tengah hari esok, di seluruh Indonesia.
Pemilu 2019, pertama kali diadakan serentak bagi memilih Presiden Indonesia bagi tempoh 2019-2024, pemilihan 711 anggota Majlis Permusyarawatan Rakyat (MPR), 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), 136 Dewan Perwakilan Daerah (DPD) serta anggota dewan legislatif seramai 19,500 orang melibatkan lebih 2,000 daerah dan perbandaran.
Tumpuan pastinya pemilihan presiden Indonesia atau Pilpres, melibatkan Presiden Joko Widodo (Jokowi), yang akan mempertahankan jawatannya bagi penggal kedua, bergandingan dengan gandingan baharu Ma’ruf Amin, seorang ulama berpengaruh Indonesia, sebagai naib Presiden.
Pasangan itu akan ditentang bekas ketua tentera Prabowo Subianto, yang bergandingan dengan bekas timbalan gabenor Jakarta, Sandiaga Uno.
Jokowi, 57, dijadual mengundi di TPS 008, di Jalan Veteran Raya, Jakarta Pusat, manakala pasangannya, Ma’ruf, 76, di TPS 051, Jalan Deli Lorong 27, Koja Jakarta Utara.
Prabowo, 57, dijadual mengundi di TPS 041, Kp. Curug 02/09, Desa Bojong Koneng, Kecamatan Babakan Madang Kabupaten Bogor, manakala Sandiaga, 49, di TPS 002 Jalan Sriwijaya 2 Belakang SMK 15 Kebayoran Baru Jakarta Selatan.
“Dijelaskan, saat ini Indonesia sudah dikenal sebagai negara pemilihan langsung serentak di dunia.
“Indonesia juga negara demokrasi ketiga terbesar selepas Amerika Syarikat serta India dan Indonesia adalah negara demokrasi paling kompleks berdasarkan ukuran wilayah, geografi, dan penyelenggara pemilihan,” kata Arief.
Berikut tarikh penting Pemilu 2019 (i). 17 April 2019: Hari Mengundi (ii). 25 April hingga 22 Mei 2019: Pengumuman keputusan pilihan raya umum secara progresif (iii). 1 Oktober 2019: Pengumuman rasmi penggubal undang-undang (iv). 20 Oktober 2019: Pengumuman rasmi Presiden dan Naib Presiden.
Dalam hal berkaitan, Mahkamah Konstitusi Indonesia hari ini menolak permohonan beberapa media di Indonesia dan badan-badan survey keputusan pilihan raya, untuk menyiarkan keputusan-keputusan awal (keputusan tidak rasmi) Pemilu 2019.
Ketua Hakim Mahkamah Konstitusi Indonesia, Anwar Usman berkata keputusan awal atau hitung cepat hanya boleh dibuat selepas dua jam pusat pengundian di bahagian barat Indonesia, ditutup.
“Ini kerana beberapa wilayah tertentu belum selesai proses pengundian, perbezaan waktu antara wilayah barat dan timur Indonesia adalah satu jam, keputusan awal dikhuatiri mempengaruhi proses pengundian yang masih berjalan di wilayah tertentu,” katanya. – Bernama, 16 April, 2019
Komen