ANGGOTA bomba Muhammad Adib Mohd Kassim mungkin dalam keadaan separuh sedar selepas ditarik keluar daripada kenderaan kecemasan dan diserang ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman tahun lalu, kata bekas pakar forensik kepada Mahkamah Koroner.
Prof Dr Shahrom Abd Wahid memberitahu inkues hari ini, Adib dalam kesakitan kerana mengalami kecederaan patah beberapa tulang rusuk.
“Apabila perusuh menghempas daun pintu kenderaan EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) kepada Adib, beliau mungkin sudah dalam keadaan separuh sedar,” kata Shahrom kepada inkues.
“Beliau dalam keadaan separuh sedar kerana dua sebab - beliau dalam keadaan terkejut dan kerana kesakitan.”
Penjelasan Shahrom hari ini dibuat berdasarkan eksperimen dan lakonan semula kejadian selepas beliau diminta oleh koroner untuk melihat kes itu.
Shahrom juga berkata insiden berkenaan mungkin menyebabkan kadar degupan jantung Adib meningkat yang turut merangsang sistem saraf vagusnya.
Shahrom memberitahu pegawai Hamdan Hamzah bahawa ketika peringkat ini, Adib dalam keadaan separuh sedar.
“Adib sedar dirinya ditarik keluar dari kenderaan tetap beliau tidak melawan. Malah tiada reaksi,” jelas Shahrom berdasarkan lakonan semula kejadian itu.
“Kami lakonkan semula kejadian. Kami letakkan seorang anggota bomba pada kedudukan Adib dan kemudian selepas lakonan semula itu, saya memeriksa bahagian leher anggota bomba terbabit dan tidak menemui sebarang tanda kekerasan.
“Justeru, Adib tidak sedar dirinya diserang dan merasakan kekerasan mengejut ketika kolar bajunya ditarik,” jelasnya.
Minggu lalu, Shahrom berkata Adib mengalami patah tulang rusuk selepas penyerang menghempaskan pintu kenderaan EMRS ke badannya dengan kuat.
Penilaiannya berbeza dengan kesimpulan yang dibuat pakar patologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Mohd Shah Mahmood dan Dr Ahmad Hafizam Hasmi, yang berkata kecederaan Adib tidak konsisten dengan seseorang yang diserang.
Adib merupakan antara anggota pasukan kecemasan yang dihantar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya pada 27 November ke kuil berkenaan selepas menerima laporan kenderaan di sana dibakar.
Beliau mengalami kecederaan parah dalam insiden terbabit dan meninggal dunia kerana kecederaan itu di Institut Jantung Negara pada 17 Disember. – 16 April, 2019
Komen