PELAKON Amerika, Lori Loughlin dan suaminya, Mossimo Giannulli semalam mengaku tidak bersalah membayar AS$500,000 (RM2 juta) sebagai rasuah untuk memastikan anak perempuan mereka masuk ke sebuah universiti berprestij di California.
Pasangan itu mengetepikan hak untuk hadir ke mahkamah dan memfailkan pengakuan menerusi dokumen yang difailkan oleh peguam mereka.
Pelakon siri popular ‘Full House’ itu dan suaminya adalah antara 50 individu termasuk pelakon ‘Desperate Housewives’, Felicity Huffman, didakwa terlibat dalam skandal rasuah kolej yang menggemparkan.
Huffman mengaku bersalah membayar AS$15,000 untuk menaikkan markah peperiksaan masuk kolej (SAT) anak perempuannya.
Loughlin, 54, dan Giannulli dituduh membayar AS$500,000 pada 2016 dan 2017 supaya dua anak perempuan mereka dapat memasuki University of Southern California (USC) dengan menyamar sebagai anggota pasukan pendayung.
Jika sabit kesalahan, pertuduhan pengubahan wang haram dan penipuan bank yang dihadapi mereka boleh membawa hukuman penjara sehingga 40 tahun. – AFP, 16 April, 2019.
Komen