SEORANG saksi dalam perbicaraan Najib Razak hari ini dituduh tidak memberitahu semua kebenaran berkaitan serbuan yang diadakan di AmBank tiga tahun lalu.
Pegawai penyiasat Bank Negara Azizul Adzani Abdul Ghafar kelihatan tidak selesa ketika pemeriksaan balas dibuat peguam bela Harvinderjit Singh berkenaan rampasan dokumen berkaitan akaun Najib Razak di bank berkenaan.
Serbuan yang diadakan pada 6 Julai 2015 menyaksikan dokumen berkaitan Najib dan SRC serta anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd disita.
Azizul memberi keterangan bahawa dia sudah menunggu sejak lewat pagi di cawangan bank tersebut sebelum dokumen diserahkan oleh pengurus bank R Uma Devi pada jam 9.15 malam.
Dokumen terperinci transaksi antara RM5 juta dan RM40 juta dibuat antara Disember 2014 dan Februari 2015.
Azizul mendakwa dia tidak mengetahui butiran serbuan kedua yang dibuat di bangunan sama dan dijalankan oleh Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Kewangan Bank Pusat.
Tambahnya, dia bersama pasukan pertama yang mempunyai empat pegawai manakala pasukan kedua mempunyai sekurang-kurangnya 10 pegawai.
Dia percaya pasukan kedua itu diketuai oleh pegawai penyiasat Ahmad Farhan Sharifuddin.
Harvinderjit menyoal Azizul sama ada beliau meminta maklumat akuan dan urus niaga ketika serbuan itu yang mana saksi mengatakan dia tidak dapat mengingat butir-butir berkenaan.
Harvinderjit kemudian bertanya bagaimana dia pergi mendapatkan dokumen mengenai urus niaga tertentu daripada Uma Devi, Azizul berkata dia tidak pasti.
“Tolong keluar dari gua anda, anda jelas tidak memberitahu kami keseluruhan cerita,” kata Harvinderjit kepada saksi.
Harvinderjit turut bertanya sama ada Azizul sudah menghubungi Joanna Yu, seorang pengurus AmBank yang dilaporkan mengendalikan akaun 1Malaysia Development Bhd dan SRC Interntional.
Azizul menafikan pertemuan dengannya dan berkata dia hanya dimaklumkan tentang serbuan itu pada awal hari sambil menambah ia adalah amalan biasa untuk menunggu pasukan kedua menyelesaikan serbuan.
Bagaimanapun katanya, dia tidak menyangka pasukan itu menyelesaikan kerja pada waktu malam walaupun pada bulan puasa.
Azizul berkata, selain nombor akaun, beliau tidak diberitahu nama pemegang akaun.
Beliau juga tidak menemui mana-mana pegawai berkaitan 1MDB sambil menambah peranannya hanya untuk merampas dokumen. – 16 April, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen