Penyebar rakaman kejadian tembakan masjid NZ terima ancaman bunuh


Enam orang dihadapkan ke mahkamah New Zealand semalam dan didakwa kerana memiliki atau menyebarkan rakaman kejadian yang berlaku pada 15 Mac lepas. – Gambar EPA, 16 April, 2019.

INDIVIDU yang didakwa memiliki atau menyebarkan rakaman video kejadian tembakan di dua masjid di New Zealand menerima ancaman bunuh, lapor media tempatan, hari ini.

Rakaman ngeri pembunuhan beramai-ramai yang menyebabkan 50 orang terbunuh itu disiar secara langsung dan tersebar pantas di Internet, beberapa jam selepas kejadian.

Pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan menyebarkan rakaman video tersebut yang diisytiharkan haram di New Zealand.

Enam orang dihadapkan ke mahkamah semalam dan didakwa kerana memiliki atau menyebarkan rakaman kejadian yang berlaku pada 15 Mac lepas.

Menurut laman web Christchurch Court News, pendakwa raya Pip Currie berkata beberapa defendan menerima ancaman bunuh.

Identiti keenam-enam defendan dirahsiakan atas arahan mahkamah. 

Hakim Stephen O’Driscoll membebaskan tiga defendan dengan ikat jamin. Salah seorang daripada defendan, berusia 18 tahun, didakwa memiliki gambar salah sebuah masjid berserta kapsyen “sasaran diperolehi”. – AFP, 16 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen