Polis akan siasat segenap sudut kes kebakaran pusat tahfiz, kata KPN


Low Han Shaun

Mohamad Fuzi Harun melawat keluarga mangsa kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Hospital Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 September, 2017.

POLIS akan menyiasat setiap aspek termasuk unsur khianat dalam kes kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur yang berlaku semalam.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan kebakaran itu akan disiasat .

“Bukan sahaja pemilik, malah guru, pelajar yang berjaya menyelamatkan diri termasuk 38 orang yang masih dirawat di hospital, kita akan siasat mereka semua,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Sama ada kebakaran tu berlaku disebabkan perbuatan khianat, sebagaimana yang dicadangkan pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, Fuzi berkata polis akan membuat kesimpulan berdasarkan bukti.

“Itu apa yang beliau kata, kita tidak boleh hanya mendengar ucapan mulut sahaja, kita perlukan laporan hitam putih.

“Kita akan menjalankan siasatan dari setiap sudut. Buat masa ini, terlalu awal untuk mengklasifikasikan jenis kebakaran, dan apa isu yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Buat masa ini katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Ketika ini fokus kita adalah laporan kematian mengejut dan kebakaran sahaja, melainkan terdapat petuunjuk baharu menerusi bedah siasat dan laporan bomba.”

21 orang pelajar da dua guru terbunuh dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 5.30 pagi semalam di pusat tahfiz Daruk Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 23 mangsa itu sudah dikenal pasti identiti mereka menerusi ujian DNA. – 15 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen