China guna teknologi AI kesan etnik Uighur


China menggunakan sistem teknologi pengenalan wajah untuk mengesan etnik minoriti Muslim Uighur di seluruh negara itu. – Gambar EPA, 16 April, 2019.

PIHAK berkuasa China menggunakan sistem teknologi pengenalan wajah untuk mengesan etnik minoriti Muslim Uighur di seluruh negara itu, menurut laporan New York Times.

Sebelum ini, Beijing dikritik atas layanannya terhadap Uighur di wilayah Xinjiang, barat laut China di mana sehingga sejuta etnik majoriti Muslim itu ditahan dalam kem sementara, menurut data panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut artikel laman itu, kelmarin teknologi pengenalan wajah berkenaan dimasukkan dalam rangkaian kamera pemantau meluas di China, ia diprogramkan untuk mencari etnik Uighur berdasarkan penampilan dan bagi merekodkan pergerakan mereka di seluruh China.

Polis kini dilaporkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyasarkan etnik Uighur di luar Xinjiang termasuk di bandar mewah seperti Hangzhou dan Wenzhou.

Ia mendakwa, satu bandar utama yang diimbas mempunyai 500,000 Uighur dalam tempoh sebulan saja.

Pada 2017, Beijing mengumumkan rancangan menjadi peneraju industri AI dunia. Namun, kalangan komuniti antarabangsa bimbang teknologi baharu itu akan digunakan untuk pemantauan polis, susulan ketegangan etnik ganas di negara itu. – AFP, 16 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen