PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron berkata gereja Notre-Dame di Paris yang musnah dalam kebakaran semalam akan dibina semula.
Macron bagaimanapun lega kerana keadaan paling buruk dapat dielakkan dalam kebakaran itu yang berisiko memusnahkan keseluruhan bangunan hingga mengejutkan Perancis, apatah lagi bangunan itu dianggap jiwa negara itu.
Kebakaran itu memusnahkan bumbung bangunan mercu tanda warisan dunia Unesco berusia 850 tahun berkenaan.
Insiden berlaku ketika penganut Katolik sedang melakukan persediaan menyambut Easter.
Kebakaran itu disaksikan ramai warga Paris dan pelancong, dengan asap hitam berkepul-kepul ke udara dan api marak kemerahan.
Kira-kira 400 anggota bomba cuba mengawal api dan dapat menyelamatkan menara depan bangunan ikonik itu, ketika hampir tengah malam.
Ketua jabatan bomba Paris Jean-Claude Gallet berkata struktur utama Notre-Dame dapat diselamatkan, begitu juga dua menaranya. – AFP, 16 April, 2019.
Komen