SUASANA pilu dipayungi langit mendung menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di pinggir Kuala Lumpur petang ini ketika ahli keluarga dan orang ramai menunggu ketibaan jenazah 11 pelajar tahfiz mangsa kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah.
Antara yang dikebumikan di tanah perkuburan itu termasuk tiga beradik Muhd Syafiq Haikal Mohd Sulaiman, 13; Muhd Hafiz Iskandar, 11, dan Muhd Harris Ikhwan, 10.
Lebih kurang 500 orang hadir di tanah perkuburan tersusun itu, menunggu ketibaan van jenazah setelah selesai urusan pengecaman identiti di Hospital Kuala Lumpur, tengah hari tadi.
Dua belas liang lahad digali sejak malam tadi dan siap pagi tadi.
Rata-rata orang awam yang hadir berkata mereka datang kerana terkesan dengan kejadian yang berlaku dan ingin berkongsi kesedihan dengan ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang.
Mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut hadir mengisi masa terluang sementara menunggu ketibaan jenazah dengan memberikan tazkirah dan memimpin bacaan doa.
Sementara itu, empat jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, empat dikebumikan di empat tanah perkuburan berbeza di sekitar Lembah Klang manakala tiga masing-masing dikebumikan di Kedah, Kelantan dan Perak.
Kebakaran menjelang Subuh Khamis itu membunuh 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz berkenaan.
Orang ramai dilihat turut memberikan penghormatan terakhir dengan mengiringi jenazah Mohd Aidil Aqmal Zamzuri yang pertama tiba pada jam 6.26 petang.
Mereka sanggup menunggu ketibaan dari jenazah pertama sehingga jenazah terakhir pada jam 8.04 malam.
Azlina, 43 dari Gombak berkata perkara sebegini tak sepatutnya terjadi dan berharap agar sekolah mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak ia perkara sama berulang.
“Sebagai saudara Muslim, saya terkilan bila benda benda macam ni dah jadi buat kali kedua di negara kita. Sebab itu saya datang bila saya nampak dalam berita mereka nak kebumi jenazah mereka di sini,” katanya.
Salah seorang orang ramai yang hadir, Baharnordin, 60, berkata, dia berasa amat simpati dengan mangsa kerana insiden tersebut merupakan perkara yang boleh dielakkan.
“Tapi kita perlu kenal pasti dulu sebab terjadi, jangan menuduh mana-mana pihak,” katanya.
Nas, 58, yang turut hadir sebaik sahaja selepas waktu bekerja turut menyatakan pandangan yang sama.
“Tak adil tuduh pihak sekolah sebab polis masih siasat kes ni. Tapi saya faham dengan keadaan di sekolah agama rakyat. Mereka terima derma dari orang ramai dan harapkan yuran sekolah yang ibu bapa bayar.
“Saya pun ada anak yang masuk sekolah agama, lepas insiden macam ini saya ada kerisauan tapi tak adalah sampai nak keluarkan anak saya dari sekolah. Kalau benda nak jadi, jadi juga,” katanya.
Ketika talqin dibacakan jam 8.40 malam, hujan turun renyai-renyai, seakan-akan bersedih dengan pemergian jenazah pelajar tahfiz terbabit. Majlis pengebumian selesai pada jam 8.49 malam. – 15 September, 2017.
Komen