LEVI pelepasan tidak sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia pada masa ini kerana pelancong sudah pun membayar cukai lapangan terbang, hotel dan perkhidmatan, kata pihak dalam industri.
Levi itu mungkin tidak produktif terhadap rancangan Putrajaya untuk mempromosikan 2020 sebagai Tahun Pelancongan Malaysia, terutama apabila negara Asia lain lebih murah untuk pelancong, kata mereka.
Masa untuk mengenakan levi itu juga salah kerana ekonomi global sedang perlahan dan ini akan menjejaskan industri pelancongan.
Timbalan Presiden Persatuan Pelancongan Malaysia Mint Leong berkata pelancong asing dikenakan sudah pun dikenakan cukai yang banyak di Malaysia dan ini akan menambah kos dalam pakej pelancongan.
“Anda perlu bayar RM10 setiap malam untuk hotel, jadi jika anda melawat Malaysia lima hari anda perlu bayar RM50.
“Ditambah dengan levi pelepasan lagi, ini akan jadi terlalu banyak untuk pelancong,” kata Leong kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun katanya, bagi orang tempatan keluar dari negara, mengenakan levi RM20 hingga RM40 tidak munasabah.
“Ia boleh menaikkan pendapatan kerajaan dan mempromosikan pelancongan tempatan, tetapi ia tidak akan menggalakkan pelancong asing melawat Malaysia.”
Leong berkata perniagaan akan terjejas jika pelancong tidak mahu ke Malaysia akibat levi itu.
“Bukan sebab pelancong tidak mampu, tetapi apa yang seronok sangat untuk Malaysia jadi satu destinasi wajib dikunjungi?
“Negara Eropah, Amerika Syarikat dan Australia semuanya negara yang mahal untuk dikunjungi, tetapi pelancong akan tetap pergi. Adakah Malaysia punya tarikan yang sama? Adakah ia wajib dikunjungi?
“Malaysia ada banyak saingan di rantau ini seperti Thailand, Indonesia dan Filipina. Dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 semakin hampir, saya tidak faham kenapa levi pelepasan perlu dimasukkan sekali,” kata Leong.
Beliau berkata levi itu bukan saja akan menjejaskan industri pelancongan, tetapi eksekutif perniagaan yang ke luar negara bagi menghadiri persidangan atau meluaskan jaringan perniagaan mereka.

Rang undang-undang levi pelepasan bagi pengguna perkhidmatan pesawat diluluskan di Dewan Rakyat dan kini menunggu kelulusan Dewan Negara. Kementerian Kewangan dijangka melaksanakan levi itu selepas musim haji.
Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia Albert Tan berkata ia bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan levi pelepasan kerana industri pelancongan sedang perlahan selepas sambutan Tahun Baru Cina.
Tan berkata levi itu akan menaikkan kos perjalanan ke Malaysia dan boleh menjejaskan kedatangan pelancong dari China, Taiwan dan Hong Kong ketika musim cuti mereka pada Ogos nanti.
“Apa yang Malaysia patut buat sekarang ialah menggalakkan lebih ramai orang melawat negara ini supaya mereka boleh membelanjakan wang di sini.
“Itu sebabnya saya fikir pelaksanaan levi pelepasan bukan idea yang baik,” katanya.
Beliau berkata angka daripada Kementerian Pelancongan menunjukkan kedatangan pelancong tidak berkurangan, tetapi semakin ramai pelancong memilih perjalanan bebas bukannya secara pakej pelancongan, di mana biasanya itu bermakna mereka tidak berbelanja besar.
Tan berkata levi itu dijangka menjadikan semakin ramai pelancong yang berbajet kecil tidak datang ke sini.
“Ini boleh menjejaskan persaingan global Malaysia. Kuasa berbelanja rakyat Malaysia sedang menurun dan pasar raya tidak seramai dulu. Kami berharap untuk merangsang ekonomi dengan menarik lebih ramai pelancong yang akan membelanjakan wang mereka di sini.
“Sekarang kita bersaing dengan Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina, yang semuanya berusaha untuk membantu industri pelancongan, tetapi Malaysia pergi ke arah berlainan dan tidak ada inisiatif menarik lebih ramai pelancong.” – 16 April, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen