SEORANG jururawat warga New Zealand yag diculik oleh dua anggota militan Islamic State (IS) di Syria pada 2013 dipercayai masih hidup.
Ia didedahkan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).
Louisa Akavi diculik bersama pemandu warga Syria, Alaa Rajab dan Nabil Bakdounes, ketika mereka dalam perjalanan bersama konvoi Palang Merah untuk menghantar bantuan perubatan ke Idlib.
Dalam kejadian yang berlaku pada 13 Oktober, 2013 itu, konvoi mereka dihentikan dan tujuh orang diculik. Empat orang dibebaskan pada keesokan harinya, kata ICRC.
ICRC percaya ia adalah angkara kumpulan IS.
“Maklumat terkini yang kami perolehi dan boleh dipercayai menyatakan Louisa (Akavi) masih hidup pada hujung 2018,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan dari Geneva.
“ICRC tidak pernah mendapat maklumat lanjut mengenai Alaa dan Nabil, kami tidak tahu nasib mereka.”
New Zealand mengesahkan satu pasukan khas sudah dihantar ke Syria untuk mencari Akavi. – AFP, 15 April, 2019.
Komen