Selepas tahfiz terbakar, orang bertanya jadi tidak hantar anak cucu  


Nabihah Hamid

Kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa semalam menjadikan ramai yang hilang percaya dengan soal keselamatan di pusat tahfiz. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 September, 2017.

TANGAN wanita lebih separuh abad itu tidak lekang dari telefon pintarnya. Di perkarangan Darul Quran Ittifaqiah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, lebih kurang 36 jam selepas kebakaran meragut 23 nyawa pelajar dan guru pusat tahfiz itu, wanita itu kelihatan sibuk merakamkan gambar bangunan kuning yang jadi perhatian ramai sejak semalam.

Dia singgah tidak lama, turun dari motosikal tetapi tidak menanggalkan topi keledar di kepala. Biarpun singgah hanya sekejap, tetapi melihat bangunan yang terbakar di tingkat tiga itu membuatkan matanya bergenang. Ketika dia dihampiri, matanya merenung kosong bangunan terbakar itu.

“Tengah hari semalam makcik dapat berita di rumah. Masa itu tengah jaga cucu tak sihat. Tengok berita macam itu, kita rasa macam jadi pada kita.

“Cuba bayangkan kalau jadi pada cucu kita… boleh gila,” kata Roziah Omar, 56, yang datang bersama cucunya kira-kira 12 tengahari tadi.

Kata Roziah, selepas kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat itu, dia mula berfikir dua kali untuk menghantar cucunya ke sekolah tahfiz seumpamanya.

“Ini cucu saya, ingatkan hendak hantar tahfiz. Sebelum ini pun dulu saya ada juga niat hendak hantar anak bujang ke sekolah tahfiz dekat Alor Setar tapi masa itu ada juga cerita sekolah tahfiz terbakar, terus tak jadi hantar.

“Cucu saya yang ini pun tak payahlah. Memang ada niat (hantar tahfiz). Sebelum ini ada terfikir juga tapi tidak mahu lah. Biarlah hari-hari tengok depan mata,” katanya sambil menepuk bahu cucunya, Aqil Syazwan yang berumur 9 tahun.

Roziah yang bekerja sebagai operator menjaga dua cucunya di rumahnya di Keramat turut berharap keadilan dapat diberikan kepada kesemua mangsa.

“Kita kena api sikit pun dah terasa apa lagi yang terbakar hidup-hidup. Macam manalah dia fikir untuk buat pintu satu saja.

“Apa pun kita tunggulah siasatan (pihak berkuasa). Kasihan budak-budak ini,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lelaki yang singgah ke pusat tahfiz terbakar itu bersama dua anaknya juga kelihatan menakung air mata duduk di atas motosikal merenung ke arah bangunan kuning itu. Sesekali dia kelihatan menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Kita kena cari punca dulu. Kalau 100 peratus hendak salahkan pengurusan tidak boleh juga. Macam saya, budak-budak macam ini hendak hantar ke tahfiz, saya memang bimbang sekarang.

“Saya risau. Saya tidak mahu hantar. Dulu dia hendak masuk tahfiz tapi saya yang tidak bagi,” kata Shahril Ramli, 35, sambil menunjukkan anak yang duduk di depannya di atas motosikal.

Suasana di sekitar kawasan kejadian sibuk dari pagi sampai ke tengahari, sebelum orang mula bergerak untuk menunaikan solat Jumaat. Orang ramai bertali arus datang menziarah, mahu melihat sendiri tempat kejadian.

Hampir setiap orang yang datang, termasuk juga wakil-wakil pelbagai agensi, menghulurkan derma kepada tahfiz berkenaan yang disampaikan terus kepada Pengetua Darul Quran Ittifaqiyyah Muhammad Zahid Mahmod.

Selepas sumbangan diberikan, masing-masing mengambil gambar bersama pengetua dan beberapa tenaga pengajar. Ada juga yang berselfie.

Antara yang hadir ke pusat tahfiz itu pagi tadi ialah sekumpulan bekas pelajarnya yang datang dari Besut, Terengganu.

Muhammad Omar, 23, berkata beliau sangat terkejut dengan kejadian semalam kerana baru minggu lalu menziarahi pusat tahfiz itu.

“Bila dengar dan tengok TV saya terkejut. Saya tak sangka. Saya gerak 9.15 malam semalam dari Besut,” katanya, yang meninggalkan pusat tahfiz itu tiga tahun lalu.

“Pengalaman saya seronok belajar di sini tetapi saya di bangunan lama dan tiada apa masalah,” katanya yang kemudian memberitahu mahu ke Hospital Kuala Lumpur, menziarahi keluarga mangsa terlibat.

Menurut data yang diperolehi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pada tahun lepas sahaja, ada 5,485 kebakaran melibatkan bangunan termasuk 21 buah asrama sekolah dan 68 sekolah lain pelbagai peringkat dari tadika, sekolah rendah sampailah ke sekolah menengah.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar pada Mei lalu pula mendedahkan setakat tiga bulan pertama tahun ini saja ada 30 kebakaran melibatkan sekolah tahfiz, sekolah pondok dan madrasah daripada keseluruhan 1,785 kes kebakaran, dengan kerugian melibatkan lebih RM1.4 juta.

Walaupun ada banyak kes kebakaran, bagi Siti Zainah Abdul Satar, 36, ia bukanlah penghalang untuk dia menghantar anaknya ke pusat tahfiz.

“Bagi saya, untuk hantar anak ke tahfiz tiada masalah tetapi kita kena pastikan keselamatannya. Itu penting.

“Kalau tidak daftar dan buat tahfiz sesuka hati itu yang jadi masalah. Anak saya kecil lagi tetapi tiada masalah kalau (pada) masa depan nak hantar,” katanya yang datang dari Selayang. – 15 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen